Serangan baharu landa Selatan Thailand

Serangan baharu landa Selatan Thailand


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hampir 48 jam selepas 51 lokasi di tiga wilayah di Selatan Thailand dilanda beberapa siri serangan, satu lagi kejadian serupa dilaporkan berlaku malam ini.

Kejadian terbaharu dilapor berlaku kira-kira 8 malam (waktu Thailand) berdekatan sebuah kedai serbaneka di Kampung 3, Langa di daerah Mayo, Pattani.

Seorang jurucakap keselamatan Thailand berkata, beberapa penyerang memasuki kedai serbaneka itu dan mengarahkan pekerja keluar sebelum letupan berlaku.

“Tembakan juga dilapor kedengaran ketika kejadian.

“Pihak berkuasa Thailand segera dikerahkan ke lokasi, sementara anggota pasukan keselamatan mengamankan kawasan tersebut dan mula menilai keadaan,” tambah jurucakap itu.

Jurucakap itu berkata, butiran lanjut termasuk sama ada terdapat sebarang korban atau kerosakan masih belum disahkan.

Kejadian itu berlaku selepas siri serangan terancang melanda 51 lokasi di seluruh Narathiwat, Pattani dan Yala pada malam Sabtu yang menimbulkan kebimbangan mengenai kebangkitan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand.

Pada malam Sabtu, sejumlah 51 kejadian dilaporkan termasuk serangan yang melibatkan alat letupan buatan sendiri (IED) di seluruh tiga wilayah itu.

Setakat ini dua warga Thailand dilapor cedera.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top