mdroji@bh.com.my
Kuching: Sekolah di Sarawak diminta menangguhkan aktiviti luar sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 100 dan ke atas, walaupun keadaan jerebu di kebanyakan kawasan negeri itu semakin pulih.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan aktiviti luar tidak dibenarkan apabila bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat.
Menurutnya, keadaan lebih serius apabila bacaan IPU mencecah 200 dan ke atas yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, sekali gus memerlukan semua aktiviti luar ditangguhkan.
“Buat masa ini, walaupun bacaan sudah menurun, ia masih dianggap tidak sihat di beberapa kawasan, jadi kita tidak membenarkan aktiviti luar dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sarawak yang dipengerusikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Omar berkata, keputusan berhubung pelaksanaan aktiviti luar turut mengambil kira keadaan semasa dan budi bicara pengetua serta guru besar di sekolah masing-masing.
“Walaupun bacaan mungkin sudah turun, tetapi jika keadaan di luar masih berjerebu, banyak asap dan jarak penglihatan terjejas, tangguhkan dahulu aktiviti luar dan jalankan aktiviti lain di dalam sekolah,” katanya.
Berkata berkata, kuasa membuat keputusan berkaitan aktiviti luar telah diturunkan kepada pengetua dan guru besar bagi membolehkan tindakan segera diambil berdasarkan keadaan setempat.
Setakat jam 2 petang hari ini, hanya tiga kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Sri Aman (163), Serian (163) dan Samarahan (162), manakala sekolah hanya mempunyai dua hari persekolahan sebelum cuti selama seminggu bermula minggu depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
