FINAS Dah Ada ‘New Home’! Menara Baharu Ini Bukan Biasa-Biasa, Siap Ada Pawagam & Film Vault Simpan 81,770 Bahan Arkib! 

FINAS Dah Ada ‘New Home’! Menara Baharu Ini Bukan Biasa-Biasa, Siap Ada Pawagam & Film Vault Simpan 81,770 Bahan Arkib! 


Kalau selama ini nama FINAS cukup sinonim dengan dunia perfileman tempatan, nampaknya satu lagi bab baharu bakal mewarnai perjalanan industri kreatif negara apabila Menara FINAS Damansara kini rasmi dibuka.

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Menara baharu yang terletak di Damansara Damai itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos 2026, sekali gus menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh ekosistem industri filem dan audiovisual Malaysia.

Namun apa yang menarik perhatian, Menara FINAS ini bukan sekadar tampil sebagai ibu pejabat baharu.

Sebaliknya, ia menghimpunkan pelbagai fungsi dan kemudahan berkaitan industri kreatif di bawah satu bumbung, termasuk pembangunan industri, pelesenan dan penguatkuasaan, selain dokumentasi serta pengarkiban audiovisual negara.

Langkah ini dilihat cukup relevan dengan perkembangan industri kandungan hari ini yang semakin pantas berubah, terutama dengan kemunculan pelbagai platform digital dan bentuk kandungan baharu.

45 Tahun FINAS, 80 Tahun Legasi Filem Negara

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Pembukaan Menara FINAS tahun ini juga hadir pada waktu yang cukup bermakna.

Tahun 2026 menandakan ulang tahun ke-45 penubuhan FINAS, selain turut memperingati 80 tahun legasi Malayan Film Unit–Filem Negara Malaysia.

Untuk yang mungkin tak tahu, FINAS ditubuhkan pada tahun 1981 dan mula beroperasi secara rasmi di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang pada tahun 1988.

Manakala Malayan Film Unit pula telah ditubuhkan pada 1 April 1946 sebelum dinamakan sebagai Filem Negara Malaysia pada tahun 1963.

Kedua-dua legasi ini kemudiannya disatukan apabila Filem Negara Malaysia digabungkan secara rasmi dengan FINAS pada 1 Januari 2013.

Jadi, pembukaan Menara FINAS bukan sekadar tentang sebuah bangunan baharu, tetapi turut membawa bersama sejarah panjang perkembangan industri audiovisual negara.

Ada Pawagam, Studio Hingga Film Vault

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Jangan tak tahu, menara FINAS bukan macam ruang pejabat semata-mata. Ada banyak kemudahan yang akan buatkan mata korang terbuntang luas. 

Antara kemudahan utama yang tersedia adalah Dewan Panca Delima, dua studio Sound Stage, Pawagam Digital P. Ramlee yang mempunyai kapasiti 300 tempat duduk, ruang latihan, Mediatheque FINAS, Museum of Moving Image serta Film Vault.

Bagi yang menghargai sejarah filem tempatan, bahagian Film Vault pastinya antara yang paling menarik.

Ini kerana ia menyimpan sebanyak 81,770 bahan arkib audiovisual negara, menjadikannya satu ruang penting dalam usaha memastikan khazanah audiovisual Malaysia terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Projek Bermula Sejak 2021

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Menara FINAS ini bukanlah projek yang muncul dalam sekelip mata.

Pembinaannya bermula pada 20 Januari 2021 sebelum menerima Perakuan Siap dan Pematuhan pada 18 Disember 2025.

Perakuan Siap Kerja pula diterima pada 22 Mei 2026 dan selepas proses perpindahan secara berperingkat, FINAS akhirnya mula beroperasi sepenuhnya di lokasi baharu tersebut pada 6 Ogos 2026.

Dibina di atas tapak berkeluasan 5.14 ekar, Menara FINAS kini menjadi pusat baharu yang menyatukan pelbagai fungsi penting berkaitan industri filem dan audiovisual negara.

Dibuka Dalam Bulan Kebangsaan

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Menariknya, perasmian Menara FINAS turut berlangsung dalam suasana Bulan Kebangsaan, menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2026 yang membawa tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.

Pembangunan industri kreatif turut diberi perhatian dalam usaha memastikan sektor ini bukan sahaja terus berkembang, malah mampu menyediakan pekerjaan berkualiti, membuka peluang secara lebih saksama dan meningkatkan kesejahteraan warga industri.

Dengan perubahan landskap industri yang semakin ketara, usaha memperkukuh kemudahan dan ekosistem untuk penggiat filem serta audiovisual dilihat semakin penting.

Daripada mereka yang berada di hadapan kamera sehinggalah tenaga kreatif dan teknikal di belakang tabir, industri ini sebenarnya melibatkan pelbagai bidang dan peluang kerjaya.

Nama-Nama Besar Turut Hadir

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Majlis perasmian Menara FINAS turut dihadiri Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah; Tokoh Seni, Budaya dan Media, YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar; Pengerusi FINAS, Dato’ Dr. Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.

Turut hadir ialah ahli-ahli Perbadanan FINAS dan penggiat industri.

Dengan kewujudan Menara FINAS ini, industri filem dan audiovisual Malaysia kini mempunyai sebuah pusat yang menghimpunkan pembangunan industri, kemudahan produksi, ruang latihan, pawagam digital serta khazanah arkib dalam satu lokasi.

Daripada menyimpan bahan-bahan sejarah negara hinggalah menyediakan kemudahan untuk generasi penggiat industri hari ini, Menara FINAS seolah-olah menjadi penghubung antara sejarah panjang perfileman Malaysia dengan masa depan industri kreatif.

Satu era mungkin sudah berakhir, tetapi untuk industri filem Malaysia, nampaknya cerita baharu baru sahaja bermula.






Source link

OR

Scroll to Top