Wawrinka dapat tiket wildcard Terbuka AS saat akhir

Wawrinka dapat tiket wildcard Terbuka AS saat akhir


New York: Pemain veteran Switzerland, Stan Wawrinka menerima wildcard saat akhir untuk beraksi dalam acara perseorangan Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu depan, umum penganjur selepas keputusan tidak menyenaraikan juara 2016 itu mencetuskan kontroversi.

Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) mengumumkan Wawrinka, juara tiga gelaran Grand Slam perseorangan, akan menggantikan Patrick Kypson. Kypson pada asalnya diberikan tempat itu tetapi menarik diri kerana kecederaan, menurut USTA.

“Saya sangat teruja menerima wildcard untuk Terbuka AS 2026 dan tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan peminat di New York,” kata Wawrinka dalam kenyataan USTA.

Ketiadaan Wawrinka, 41, daripada senarai asal wildcard menjadi isu hangat dalam dunia tenis sejak USTA mengumumkan pilihannya minggu lalu.

Wawrinka yang sudah mengumumkan akan bersara selepas musim ini, membuka kempen Grand Slam 2026 dengan baik apabila memenangi dua pusingan di Terbuka Australia sebelum tewas dalam empat set kepada pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz.

Wawrinka kemudian tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Perancis dan Wimbledon, selain bergelut untuk mengumpul kemenangan dalam kejohanan Jelajah Utama sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun, berada di ranking ke-127 dunia, Wawrinka tidak jauh daripada kedudukan yang melayakkannya menerima kemasukan terus ke kejohanan.

Malah, dia merupakan satu-satunya pemain selain Andy Murray yang memenangi lebih daripada satu gelaran Grand Slam dalam era yang didominasi Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic.

Keputusan awal untuk tidak memilih Wawrinka mencetuskan kritikan daripada pengulas serta bekas pemain seperti juara Terbuka AS 2003, Andy Roddick.

Ramai turut mempersoalkan sistem USTA dalam menentukan pemberian wildcard kepada pemain yang tidak layak berdasarkan ranking.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top