Banjir Nepal: Anwar arah misi bantuan digerakkan segera

Banjir Nepal: Anwar arah misi bantuan digerakkan segera


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan pihak berkuasa berkaitan supaya segera menyelaras usaha bantuan susulan bencana banjir dahsyat yang melanda Nepal dan beberapa kawasan di India.

“Saya sudah meminta semua agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar supaya segera menilai keadaan serta menghubungi kedutaan kita di India dan Nepal bagi mempercepatkan usaha membantu mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

Arahan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap lebih 50 rakyat Malaysia yang berada di Nepal dan masih belum dapat dihubungi ahli keluarga sejak banjir melanda semalam.

Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohd Firdaus Azman, berkata kerosakan infrastruktur komunikasi serta gangguan akses jalan raya menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.

Pihak berkuasa Nepal sudah mengerahkan helikopter bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat, namun akses ke beberapa kawasan terjejas masih sukar.

Banjir berkenaan tercetus selepas sebahagian glasier di Himalaya runtuh, menyebabkan ais, batu dan lumpur mengalir deras ke sistem sungai.

Bencana itu setakat ini meragut lebih 150 nyawa, manakala ratusan penduduk tempatan dan pelawat asing masih belum diketahui nasib mereka.

Beberapa kampung, jambatan, jalan raya dan projek tenaga turut dihanyutkan arus deras, manakala amaran banjir dikeluarkan di beberapa kawasan di India susulan peningkatan paras air sungai di kawasan hilir.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top