Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela membabitkan 5,000 pelarian Myanmar yang layak ke negara asal secara berperingkat.
KDN berkata, kumpulan pertama seramai 1,476 warga Myanmar akan dihantar pulang pada 29 September ini selepas dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar menerusi nota diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.
Katanya, tarikh berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan membabitkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan.
“Proses penghantaran pulang akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar,” menurut KDN dalam kenyataan hari ini.
Menurut kementerian itu, bagi tahun ini, seramai 4,008 individu terutama etnik Rohingya akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), manakala 5,000 individu yang lain akan melalui proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar secara berperingkat.
Setakat 15 Ogos lalu, seramai 10,388 warga Myanmar berada di Depot Tahanan Imigresen, namun KDN menegaskan jumlah itu merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
“Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.
“Proses pendaftaran DPP golongan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun 2026,” katanya.
KDN berkata, program DPP seterusnya akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.
Katanya, pendaftaran itu akan diwajibkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi yang lengkap serta tepat untuk tujuan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan.
Individu yang memenuhi syarat dan melepasi proses pendaftaran berkenaan akan diberikan Kad DPP yang membolehkan mereka tinggal secara sementara, tertakluk kepada syarat, kawalan dan pemantauan ditetapkan kerajaan.
“Lebih 95 peratus pelarian di negara ini berasal daripada Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon. Justeru, penyelesaian ini tidak boleh dilakukan secara unilateral.
“Kerajaan MADANI sedang dan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur, bermaruah dan dipersetujui oleh kedua-dua negara,” menurut KDN.
