TELUK GUANTANAMO: Suspek yang didakwa menjadi dalang utama di sebalik serangan pada 11 September 2001 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York, Amerika Syarikat (AS) akhirnya bakal diheret ke mahkamah bagi menghadapi perbicaraan rasmi pada 2028.
Khalid Sheikh Mohammed bersama tiga lagi rakan subahatnya telah ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo milik AS di Cuba sejak awal tahun 2000-an.
Namun, proses perbicaraan atas dakwaan merancang serangan berdarah berkenaan kerap kali berdepan penangguhan.
Pihak pendakwa raya kerajaan sebelum ini memohon untuk memulakan prosiding kes terhadap Mohammed, Walid Attash, Mustafa al-Hawasawi dan Ammar al-Baluchi pada Januari 2027.
Bagaimanapun, Hakim Leftenan Kolonel Michael Schrama menolak permohonan tersebut pada Rabu.
Menurut laporan The New York Times, hakim itu sebaliknya menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 5 Jun 2028.
Keputusan hakim itu dibuat hanya beberapa minggu menjelang ulang tahun ke-25 tragedi serangan berkenaan.
Bangunan Berkembar ikonik setinggi 110 tingkat musnah sepenuhnya dalam rempuhan dua kapal terbang yang dirampas pada 11 September 2001.
Dalam kejadian itu, seramai 2, 753 orang terbunuh.
Bangunan itu pernah menempatkan lebih 430 perniagaan dari 28 buah negara. – AGENSI
