Rom: Penyerang Perancis Cagliari, Yael Trepy dibenarkan keluar dari hospital selepas hampir lemas awal bulan ini, umum kelab Serie A itu,
“Trepy dibenarkan pulang hari ini dalam keadaan klinikal yang baik secara keseluruhan, selepas melalui proses rawatan yang menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur dan ketara,” kata profesor Pietro Pirina, pengarah pneumologi klinikal dan intervensi di hospital di Sassari dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Cagliari.
Pirina menambah, pemeriksaan yang dijalankan sepanjang tempoh Trepy menerima rawatan menunjukkan perkembangan yang semakin baik, sekali gus membolehkan pemain berusia 20 tahun itu pulang dengan selamat.
Cagliari bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Trepy sudah boleh kembali menjalani latihan atau bilakah dia dijangka menyambung latihan.
Trepy hampir lemas di sebuah kolam renang di Porto Cervo, utara Sardinia pada 16 Ogos lalu.
Dua hari kemudian, Cagliari mengumumkan pemain itu sudah sedar daripada koma akibat perubatan yang dilaluinya dan ‘tidak menunjukkan sebarang defisit neurologi yang jelas’.
© New Straits Times Press (M) Bhd
