PUTRAJAYA: Hujan renyai membasahi bumi Putrajaya seawal pukul 9 malam tadi langsung tidak mematahkan semangat rakyat Malaysia untuk berkampung di Dataran Putrajaya di sini, demi menyambut sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pagi esok.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pengunjung mula berkumpul seawal pukul 3 petang tadi di Dataran Putrajaya bagi mendapatkan lokasi terbaik menyaksikan perarakan pada esok pagi.
Rata-rata pengunjung yang ditemui tidak kisah tidur dalam suasana terbuka sambil berbual-bual dan lepak santai bersama seisi keluarga dan rakan yang baru dikenali.
Tidak kurang juga yang memasang khemah bagi memastikan tahap keselesaan maksimum khususnya buat anak-anak masing-masing.
Menurut Azreena Amer Khan, 40, dia dan keluarganya mengambil keputusan bermalam di sini kerana mahu mendapatkan lokasi paling terbaik bagi melihat perarakan esok.
“Seperti tahun lalu, saya dan keluarga hadir pada pukul 3 pagi, tetapi banyak tempat yang menarik telah diambil oleh orang lain.
“Jadi, tahun ini kami membuat keputusan untuk datang seawal pukul 7 malam bagi mendapatkan ‘spot’ terbaik iaitu di barisan paling hadapan,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.
Katanya, dia sekeluarga keputusan untuk berkampung di Dataran Putrajaya bagi membolehkan tiga anak merasai pengalaman menyambut hari merdeka secara beramai-ramai.
“Ini antara cara saya mendidik anak-anak mengenai kemerdekaan, malah mereka juga begitu teruja untuk bermalam dan menantikan sambutan secara besar-besaran esok,” katanya.
Sementara itu, Md. Shukri Md. Yusuf, 47, beliau dan keluarga pula mengambil keputusan bermalam di Putrajaya bagi merasai sambutan secara skala besar di ibu negara.
“Sebenarnya, kami baru tiba dari Kulim, Kedah kira-kira pukul 8 malam tadi dan akan bermalam di Putrajaya untuk sambutan kemerdekaan esok.
“Saya membawa khemah bagi memastikan keselesaan tahap maksimum untuk keluarga memandangkan perlu menunggu lama sebelum sambutan bermula pada esok pagi,” katanya.
Untuk maklumat, acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 dijadualkan berlangsung pada pukul 8 pagi esok.
Acara sambutan itu akan dijayakan lebih 10,819 peserta daripada 76 kontinjen selain melibatkan 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias serta 328 aset darat, laut serta darat serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan. – UTUSAN
