Andre Anura gegar SUKIPT dengan rekod baharu


KUALA LUMPUR: Atlet lompat jauh Universiti Putra Malaysia (UPM), Andre Anura Anuar mencipta sensasi apabila bukan sahaja meraih pingat emas, malah memecahkan rekod temasya pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Arena Universiti Malaya (UM), hari ini.

Atlet kebangsaan itu melakukan lompatan sejauh 7.78 meter (m) pada percubaan pertama untuk memperbaharui rekod temasya milik Lukman Hakim Ramlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mencatat 7.53m pada edisi 2014.

Perak menjadi milik atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhd Harith Haikal menerusi lompatan 7.10m, manakala Tan Zhi Hang dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) meraih gangsa dengan catatan 7.00m.

Andre berkata, dia bersyukur kerana mampu menampilkan lompatan terbaik musim ini pada pentas SUKIPT 2026, selain berjaya merealisasikan impian untuk menamatkan penampilan terakhirnya dengan rekod baharu.

Aksi Andre di SUKIPT 2026. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI

“Alhamdulillah, saya dapat buat catatan terbaik musim untuk pertandingan kali ini. Memang saya sasarkan untuk pecah rekod temasya sebab ini adalah SUKIPT terakhir saya.

“Semua yang saya sasarkan dapat dilakukan hari ini dan ini adalah permulaan yang baik untuk musim ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Catatan 7.78m itu juga menyaksikan Andre memperbaiki rekod peribadinya musim ini yang sebelum ini dicatatkan dengan lompatan 7.51m pada Terbuka Kedah, Julai lalu.

Andre kini bakal mengalihkan fokus kepada kejohanan antarabangsa apabila dijadualkan beraksi di Oman pada awal bulan depan, namun pencapaiannya di SUKIPT 2026 menjadi suntikan keyakinan untuk memburu catatan lebih baik pada baki musim ini.

“Saya akan cuba buat yang terbaik dan cuba sasarkan catatan terbaik musim lagi kalau boleh,” katanya.

Sementara itu, bagi acara 400m lelaki menyaksikan atlet Universiti Malaysia Sabah (UMS), Muhammad Khalil Helmi merangkul pingat emas selepas melakukan catatan 48.18 saat (s).

Atlet olahraga Universiti Malaysia Sabah, Muhammad Khalil Helmi menjuarai tempat pertama dalam larian 400m di SUKIPT 2026 hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI

Perak milik Yusri Mohammad Saifullah dari Kolej Komuniti Malaysia dengan catatan 48.64s dan gangsa milik Samuel Raj Daniel dari Politeknik Malaysia (49.22s).

Bagi kategori wanita dimenangi Nor Malisya Mohd Ishak selepas menamatkan larian 57.20s menewaskan Nurul Aliah Maisarah Nor dari UPM yang melakukan 58.55s dan gangsa milik Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dari UPSI dengan catatan 58.92s. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top