KUALA LUMPUR: Kemunculan robot humanoid HONOR pada Perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan bukan sekadar menarik perhatian kira-kira 100,000 penonton di Dataran Putrajaya, malah mencetuskan tanda tanya apabila ia tampil membawa sebuah peranti pintar berwarna ungu.
Persoalan itu akhirnya terjawab apabila HONOR mengesahkan peranti berkenaan ialah HONOR X9e Pro, model baharu yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi bagi pasaran tempatan.
Kemunculan sulung robot humanoid itu bersama barisan kontinjen HONOR menandakan detik bersejarah, memandangkan ia baru sahaja selesai menyertai larian 10 kilometer (km) di Malaysia Marathon 2026 kurang daripada 24 jam sebelum perbarisan bermula.
Daripada litar marathon ke pentas Merdeka
Kehadiran teknologi robotik HONOR di Malaysia ini turut mencatat pencapaian penting apabila negara ini dipilih sebagai destinasi antarabangsa pertama penampilannya di luar China.
Dalam tempoh dua hari berturut-turut, robot humanoid berkenaan berjaya melengkapkan larian 10km di jalan raya awam sebelum berarak di pentas kebangsaan.
Penyertaan itu sekali gus membolehkannya meraih pengiktirafan Asia Record dan ASEAN Record sebagai robot humanoid pertama melengkapkan larian 10km dan juga perbarisan Hari Kemerdekaan.
Larian terbabit menjadi ujian dunia sebenar terhadap keupayaan imbang, toleransi haba serta ketahanan bateri robot terbabit dalam berdepan cuaca tempatan.
Telefon pilihan rakyat baharu bakal tiba
Bagaimanapun, perhatian pada perbarisan itu tidak hanya tertumpu kepada robot humanoid berkenaan.
Peranti berwarna ungu yang dibawanya turut mencuri perhatian kerana model itu belum dilancarkan secara rasmi.
Pendedahan HONOR X9e Pro itu secara tidak langsung memberi gambaran awal mengenai reka bentuk dan pilihan warna terbaharu siri berkenaan kepada pengguna di Malaysia.
Sebelum ini, siri HONOR X9 mencatatkan prestasi jualan cemerlang serta memegang reputasi kukuh dalam segmen telefon pintar bajet pertengahan, sehingga sering diiktiraf pengguna tempatan sebagai “telefon pilihan rakyat”.
HONOR X9e Pro bakal meneruskan legasi siri berkenaan menerusi penambahbaikan menyeluruh terutama pada aspek ketahanan fizikal dan jangka hayat bateri yang lebih panjang.
Malaysia pentas awal teknologi HONOR
Menurut HONOR, pemilihan Malaysia sebagai lokasi penampilan sulung antarabangsa bagi robot humanoid dan pendedahan awal peranti baharu itu mencerminkan kepentingan pasaran tempatan kepada jenama berkenaan.
Langkah memperagakan teknologi terkini di luar persekitaran makmal terkawal itu membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan keupayaan inovasi masa depan secara lebih dekat.
Dengan terungkainya identiti peranti berwarna ungu itu, HONOR X9e Pro dijangka dilancarkan dalam masa terdekat sekali gus mengukuhkan hubungan rapat jenama berkenaan dengan pengguna di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
