Rakyat Malaysia kemalangan di Singapura, keluarga rayu bantuan

Rakyat Malaysia kemalangan di Singapura, keluarga rayu bantuan


SINGAPURA- Seorang rakyat Malaysia yang kini terlantar di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH) Singapura selepas terlibat kemalangan di Ekspresway Ayer Rajah (AYE) di sini, Khamis memohon bantuan orang ramai untuk membiayai kos rawatannya di republik itu.

Ini selepas Akif-Zarr Ukasyah Shuhaimi, 28, yang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari tempat kerja telah digilis sebuah motosikal berkuasa besar setelah beliau terjatuh dari motosikalnya kerana cuba mengelak daripada kemalangan lain.

Beliau yang berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B) di Bencoolen Street, di sini, baru mendirikan rumah tangga tiga minggu lepas, mengalami kecederaan serius tulang belakang, patah tangan kiri selain pendarahan dalaman akibat kecederaan paru-paru.

Isterinya, Nur Syahirah Md Zohir yang bekerja di Kulim, Kedah berkata keluarga diminta membayar sekurang-kurangnya 50 peratus kos rawatan di NUH sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Sebelum ini suami memang dinasihatkan untuk tidak dipindahkan kerana masih belum stabil. Hospital baru sahaja maklumkan petang tadi bahawa Akif-Zarr sudah boleh dipindahkan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di NUH.

Bil setakat 23 Okt berjumlah S$110,537.60 (S$1=RM3.29).

Nur Syahirah yang kelihatan sugul berkata mereka sekeluarga kini runsing memikirkan bil hospital yang perlu diselesaikan.

Ibu Akif-Zarr, Ku Amazon Tuan Yusof, yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah negeri di Kelantan berkata mereka sekeluarga kini berulang dari Johor Bahru setiap hari bagi melawat anak keduanya itu.

Beliau berkata mereka kini menumpang di rumah kawan Akif-Zarr dan akan berada di hospital sehingga waktu melawat berakhir pada 8 malam setiap hari.

“Saya tengok keadaan dia, Akif-Zarr memang perlukan sokongan kami sekeluarga. Jadi, walaupun dengan keadaan yang kurang sihat, kami akan tetap berulang sampai dia boleh pindah ke HSA,” katanya yang menghidap hipertensi, selain bapa Akif-Zarr yang mempunyai penyakit jantung.

Ku Amazon berkata beliau memohon jasa baik orang ramai untuk menyumbang bagi membayar bil hospital, selain mendoakan semoga anak kedua daripada enam adik beradik yang selama ini menjadi harapan keluarga cepat sembuh dan tabah menghadapi proses penyembuhan yang panjang.

“Doktor beritahu masih ada beberapa pembedahan yang perlu dilakukan. Kami hasrat untuk buat di Johor nanti. Keutamaan kami, selesaikan bil di sini dan kemudiannya fikirkan langkah seterusnya.

“Doktor juga ada minta kami sediakan kerusi roda. Kami sekeluarga ada ikhtiar untuk jual apa yang ada namun semua tu perlukan masa, dan kami kesuntukan waktu,” katanya.

Ku Amazon berkata buat masa ini walaupun dalam keadaan yang lemah, Akif-Zarr sudah mampu berkomunikasi dengan menulis.

“Kami berterima kasih pada NUH sebab bagi rawatan selain prihatin. Pekerja sosial juga ada jumpa tanya keadaan kami. Kami juga berterima kasih pada yang telah dan akan menyumbang,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, sumbangan yang telah diterima adalah sebanyak S$7,000.

Sumbangan boleh disalurkan kepada nombor akaun berikut: Ku Amazon Tuan Yusof (ibu) (Maybank – 153039098822) atau Nur Syahirah Md Zohir (isteri) (CIMB – 7612785947).

— BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top