harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengutarakan pelbagai isu berkenaan jenayah rentas sempadan pada Persidangan Aseanapol ke-42 di Nay Pyi Taw di Myanmar semalam.
Delegasi negara di ketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengetengahkan pelbagai isu jenayah rentas sempadan pada Persidangan Head of Delegation (HOD) Forum dan HOD Discussion with Dialogue Partners.
JSJK dalam satu hantaran di Facebook berkata, persidangan selama lima hari bermula kelmarin hingga 25 Oktober adalah platform terbaik bagi berkongsi isu berhubung jenayah rentas sempadan.
“Antara isu utama termasuk penyeludupan dadah, jenayah siber, keganasan dan penyeludupan hidupan liar, serta pemerdagangan manusia di rantau Asia Tenggara.
“Sepanjang forum itu Datuk Seri Ramli mengutarakan beberapa isu berkaitan jenayah rentas sempadan terutamanya jenayah komersial yang merupakan satu ancaman besar kepada Malaysia khususnya dan negara Asia Tenggara (Asean),” kata hantaran itu hari ini.
Persidangan itu dihadiri pegawai kanan polis daripada negara Asean iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/ Perundangan/ Tahanan) Deputi Komisioner Mohd Zani Che Din; Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah(Forensik/ Perancangan Strategik) Datuk Dennis Lim Kwang Keng; dan Ketua Perhubungan Antarabangsa (USKPN), Datuk Suparamaniam Ramasamy.
© New Straits Times Press (M) Bhd