Nunez tenang menghadiahkan tiga mata buat Liverpool di Leipzig. Foto Agensi
PEMAIN Liverpool, Darwin Nunez memanfaatkan sepenuhnya penampilan permulaan dengan menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas jagoan Bundesliga Jerman, RB Leipzig dalam aksi Liga Juara-Juara.
Kemenangan tipis Liverpool di Red Bull Arena Leipzig, yang diinspirasikan daripada sentuhan Mohamed Salah kemudiannya disempurnakan Nunez minit ke-27, meneruskan permulaan positif 100 gergasi England berkenaan dalam saingan tertinggi kelab Eropah berkenaan.
Malah dua jaringan Leipzig setiap babak yang dibatalkan kerana ofsaid selain kecemerlangan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher melakukan dua penyelamatan penting membantu angkatan Arne Slot membawa keluar tiga mata berharga dari laman skuad kendalian Marco Rose.
Ketiadaan kelibat Diogo Jota yang diketepikan kerana kecederaan, Nunez, 25, kelahiran Artigas, Uruguay, yang kebanyakannya digunakan sebagai pemain gantian musim ini ternyata membalas kepercayaan Slot.
Kemenangan keenam Liverpool di laman lawan daripada enam perlawanan dalam semua kejuaraan musim itu juga mengekalkan permulaan cemerlang anak buah Slot apabila mengukir nama dalam rekod kelab untuk 11 perlawanan pertamanya sejak menggantikan Jurgen Klopp.
Liverpool berada di tangga kedua dalam fasa kumpulan Liga Juara-Juara 36 pasukan dengan sembilan mata, berkongsi mata dengan pendahulu juga kelab saingan Liga Perdana, Aston Villa diikuti Manchester City (tujuh) ketiga.