Misi hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kapal tetap diteruskan – Ann Wright

Misi hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kapal tetap diteruskan – Ann Wright


ISTANBUL – Misi Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla akan tetap diteruskan  walaupun tercetus konflik terbaharu  antara Israel dengan Iran, kata jurucakap Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright.

Bagaimanapun beliau berkata tarikh akhir pelayaran tiga kapal yang terlibat dalam misi itu yang sebelum ini dijadualkan pada 21 April 2024 (Ahad ini) mungkin boleh berubah berdasarkan situasi dan keadaan semasa.

“(Pada masa ini) Kesemua kapal akan terus belayar mengikut perancangan asal (21 April) walaupun ini merupakan saat yang genting buat rantau ini,” katanya pada sidang media Freedom Flotilla Sails Again di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata  ini juga merupakan waktu yang genting bagi penduduk Gaza yang terus menerus berdepan kekejaman rejim Israel.

“Untuk itu misi ini akan tetap diteruskan namun segala penilaian risiko akan dilakukan semula bagi menentukan tarikh yang sesuai bagi memulakan pelayaran,” katanya lagi.

Beliau berkata, beberapa penilaian lain juga akan dilakukan termasuk bahagian teknikal kapal sebelum satu tarikh pelayaran baharu diumumkan kelak.

Terdahulu media melaporkan kapal yang akan terlibat dalam misi itu melibatkan satu kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

Kapal-kapal itu akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk  lapan buah ambulans. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top