Qi Razali dah merisik kekasih, bakal berkahwin tahun depan

Qi Razali dah merisik kekasih, bakal berkahwin tahun depan



norhayati_nordin@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur : Pelakon dan pengacara, Qi Razali, 47, mengakui sudah mengadakan pertemuan dengan keluarga kekasihnya untuk merisik wanita itu sebagai tanda mengesahkan hubungan dijalin serius pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali berkata, dia dan teman wanitanya yang bekerja di belakang tabir itu sudah dua tahun menyulam cinta sekali gus berhasrat melangkah ke fasa perkahwinan.

“Kami bukan bertunang pun. Tapi pihak saya semacam menghantar tanda dan merisik begitulah. Kita cakap yang hubungan ini serius dan kalau boleh kita nak ada tarikh (untuk perkahwinan),” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Qi ditemui selepas sidang media filem Babah lakonannya sebagai seorang bapa berstatus orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu yang akan menemui penonton di pawagam mulai 5 Disember depan.

Menurut Qi lagi, dia bercadang melangsungkan majlis perkahwinan itu pada Mei tahun depan, namun merasakan masih banyak persiapan yang perlu diuruskan seperti kad undangan.

Ditanya juga apa yang menyebabkan dia berasa sekarang masa sesuai untuk berkahwin, Qi berkata, keselesaan yang dirasakannya apabila bersama teman wanitanya itu.

“Rasa selesa, kelapangan dada dan kerisauan serta ingin tahu yang dia sentiasa ada di sisi walaupun ketika itu saya tidak bersamanya. Tiga benda ini yang bila dia tidak ada bersama, memang saya terasa ketiadaannya.

“Mungkin bila dah berkahwin nanti, lebih senang mewujudkan kesefahaman sebab dah ada rasa keselesaan, kelapangan dada yang tak rasa bingit, ‘stress’ (tekanan), itu kira okaylah,” katanya masih merahsiakan nama wanita berkenaan yang berusia 28 tahun.

Ujar Qi, dia bagaimanapun tidak menyorokkan identiti wanita itu kerana sebagaimana pasangan bercinta lain, mereka juga sentiasa keluar bersama di tempat umum, namun tidak menguar-uarkan perihal peribadi.

Sebelum ini, Qi dikatakan sering kecundang dalam hubungan cinta bersama beberapa wanita termasuk selebriti tanah air.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top