Generasi muda jangan jijik, geli dengan politik – ADUN Kota Siputeh

Generasi muda jangan jijik, geli dengan politik – ADUN Kota Siputeh


BANGI – Generasi muda diingatkan supaya tidak jijik dan geli untuk melibatkan diri dalam arena politik.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, penglibatan generasi perlu demi mengelakkan politik tidak hanya didominasi oleh kelompok tertentu sahaja.

Setidaknya kata beliau, ia dapat membuka ruang dan peluang untuk golongan muda menyuarakan idea yang bernas untuk pembangunan negara.

“Soe Hok Gie (merupakan seorang aktivis Cina Indonesia) berpesan, saya sampaikan kepada orang muda. Ya politik itu kotor, kalua tidak terhindar maka terjunlah. Hari ini anak-anak muda, yang ada di depan saya iaitu mahasiswa jangan jijik dengan politik, dah la belajar ada kaitan dengan politik lepas tu bila cakap pasal politik kata “gelilah politik”.

“Kalau kamu geli dan jijik dengan politik akhirnya politik itu akan didominasi oleh orang-orang tertentu… Jangan biarkan orang-orang tertentu mendominasi politik akhirnya suara kita tidak diangkat. Maka hari ini generasi muda perlu terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel ‘Platform MG Siri 4: YB Muda Buat Kerja Atau Sekadar Popular?’ di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.

Namun demikian, seorang lagi panel iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem pula berpendirian sebaliknya.

Katanya, generasi muda termasuklah mahasiswa tidak perlu politik untuk menjadi ejen perubahan.

Sebaliknya katanya, golongan berkenaan boleh memulakan langkah menggunakan platform masing-masing untuk bersuara, memperjuangkan suatu perkara yang benar.

Lebih dikenali sebagai Helmy, beliau berkata aktivis juga antara suara yang didengari dalam memperjuangkan isu-isu tertentu.

“Kepada adik-adik semua apakah inspirasi? Tidak payah tunggu nak jadi wakil rakyat nak memulakan, abang Lando kita, hari ini jabatan tidak takut wakil rakyat tapi lebih takut kepada Lando (Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi).

“Kadang-kadang dalam mesyuarat kita cakap, tak mengapa kalau esok (jalan masih belum dibaiki), kita tunggu Lando masuk, esok (siap) turap jalan tu, macam nampak puaka tapi inilah puaka berguna.

“Tidak perlu politik pun nak jadi ejen perubahan… Keluar daripada kelompok graduan dengan memberi khidmat yang lebih lagi, berani bersuara, berani menonjol perkara yang betul, perkara yang sepatutnya. Esok lusa kita tidak tahu perkara apa yang terbentang di depan mata tetapi waktu itu anda semua sudah bersedia,” tambah beliau.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top