am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengambil tindakan tegas terhadap usahawan yang mengambil kesempatan menyalahgunakan premis perniagaan MARA.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini sudah banyak usahawan di bawah MARA diambil tindakan kerana premis yang disewa tidak beroperasi sebaliknya dijadikan stor atau perniagaan yang dijalankan bersifat suam suam kuku.
“Saya dah buat ketetapan bahawa tindakan tegas akan diambil bagi premis yang beroperasi hanya atas nama sahaja atau dijadikan stor dan (perniagaan) suam suam kuku kerana ia memberi kesan kepada usahawan yang serius nak berniaga.
“Beberapa tindakan sudah diambil dalam siri terjah saya di arked MARA dan tindakan tegas selanjutnya akan diambil,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata demikian ketika ditanya mengenai banyak premis MARA yang dilihat lesu malah ada yang tidak beroperasi.
Menurutnya lagi, MARA mempunyai 6,666 premis perniagaan di seluruh negara dan ada yang sudah berusia lebih 50 tahun
“Saya ingin mengingatkan agar jangan ambil kesempatan daripada kadar sewaan rendah yang diberikan MARA kerana boleh dianggap mengambil hak org lain yang bersungguh-sungguh untuk melebarkan perniagaan,” katanya.
Beliau terdahulu hadir dalam majlis penutup International Conference on Teacher Education 2024 (ICTE’ 24) yang dianjurkan di sebuah hotel di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd