Harga runtuh hari terakhir Bazar Deepavali, pelancong Singapura belanja sakan

Harga runtuh hari terakhir Bazar Deepavali, pelancong Singapura belanja sakan


JOHOR BAHRU – Pelancong Singapura tidak melepaskan peluang memborong pakaian dan kuih raya pada hari terakhir Bazar Deepavali di Jalan Ungku Puan di sini hari ini.

Ini kerana bazar berkenaan menawarkan harga runtuh sehari sebelum sambutan perayaan tersebut.

Seorang pelancong Singapura, S Seelan, 40, berkata, peniaga membuang harga yang sangat rendah sehingga 50 peratus berbanding jualan permulaan sebelum ini.

“Setiap tahun, saya dan adik lelaki akan datang dan membeli-belah di sini beberapa kali termasuk pada hari terakhir Bazar Deepavali ini.

“Ini disebabkan, kedai atau gerai di sini banyak menawarkan diskaun pada hari terakhir. Kami menghabiskan masa di sini hampir tiga jam bagi membeli barangan persiapan akhir.

“Kami mendapati peniaga mahu habiskan stok disebabkan hari terakhir dan akan ‘berlawan’ menurunkan harga,” katanya ketika ditemui.

Katanya, berbelanja pada saat akhir juga menjimatkan kerana harga murah selain berpuas hati dengan produk-produk yang ditawarkan.

“Ia menjadi penjimatan bagi kami dan mendapati barangan termasuk pakaian, makanan dan kuih-muih juga dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Kecil India Tekstil dan Perhiasan Johor Bahru, J Theyagarajan berkata, sesetengah pengunjung bazar termasuk pelancong Singapura menunggu sehingga saat akhir untuk membeli-belah bagi menikmati suasana hari terakhir yang meriah.

Menurutnya, menyedari bazar di bandar raya ini menjadi tumpuan pelancong Singapura, pada tahun ini pihaknya menerima penyertaan peniaga dari seluruh negara termasuk Melaka, Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Pada kali ini kebanyakan pelanggan tidak tawar-menawar harga dan hanya membeli barangan dengan harga asal ditawarkan peniaga.

“Ia berikutan harga barangan ditawarkan memang murah dan and mampu menyaingi harga barangan Deepavali dalam platform  dalam talian,” katanya.

Seorang penjual pakaian, M Vickneswary, 35, berkata, kedainya menawarkan harga jualan lelong serendah RM50 hingga RM100.

“Disebabkan stok terhad, jadi kami mengambil keputusan untuk habiskan. Kebanyakan peniaga di sini juga mungkin berniaga sehingga awal pagi.

“Saya dari Pahang membuka bazar di sini buat tahun ketiga, saya juga bercadang untuk kembali berniaga di sini sempena Deepavali pada tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, penjual biskut, R Priyanka, 22, yakin sebelum awal pagi esok dia mampu menjual kesemua barangan dengan harga borong.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top