ATM siasat dakwaan pegawai kadet ALK-UPNM cedera dibuli

ATM siasat dakwaan pegawai kadet ALK-UPNM cedera dibuli



mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyiasat dakwaan Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK–UPNM) cedera ditekap seterika, disyaki dibuli senior.

ATM berkata, pihaknya mengambil maklum laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden itu yang memperlihat kesan lecur pada badan mangsa.

“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes itu.

“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit jika terbukti bersalah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

ATM juga menggesa agar masyarakat memberi ruang kepada ATM menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

“Selain itu, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan tersebut.

“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pegawai kadet tahun dua di ALK-UPNM Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera baru-baru ini.

Memetik sumber, mangsa mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas, yang menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top