KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif merancakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia apabila memberikan pelepasan cukai berjumlah RM1,000.
la meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan, pembelian peralatan dan aktiviti sukan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pengenalan pelepasan cukai tersebut mampu mengurangkan beban terutama bagi menampung perbelanjaan berkaitan penyertaan sukan, latihan bagi diri sendiri, pasangan atau anak-anak.
“Pelepasan cukai bagi yuran latihan akan melibatkan 103 jenis sukan yang diwartakan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
“Langkah yang kita buat ini bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan penglibatan lebih ramai rakyat negara ini dalam aktiviti sukan.
“Kini ibu bapa boleh mendapat pelepasan cukai untuk latihan sukan bagi anak-anak mereka dan ia juga boleh menggalakkan industri sukan, dengan bekas atlet boleh menjadi jurulatih sebagai kerjaya mereka selepas ini.
“la akan mempercepatkan usaha untuk menjadikan budaya sukan di negara ini dan menggalakkan ibu bapa melibatkan anak-anak mereka dalam sukan,” katanya.
Antara jenis pelepasan cukai individu berkaitan dengan perbelanjaan sukan yang boleh dituntut ialah pembelian peralatan untuk aktiviti sukan yang disenaraikan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) kecuali motosikal beroda dua.
Pelepasan cukai juga termasuk pembayaran yuran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan dan pembayaran pendaftaran bagi menyertai apa- apa pertandingan sukan dan yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan.
Hannah menjelaskan, kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai meliputi latihan secara one-off atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus dan bengkel.
Jenis sukan adalah seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
“Perbelanjaan bagi yuran latihan sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian (bank-in slip dan penyata akaun bank tidak boleh digunakan sebagai bukti atau resit pembayaran),” ujar Hannah.
Justeru, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memeriksa sama ada penyedia latihan sukan mematuhi syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.
“Penyedia latihan mestilah persatuan, kelab sukan atau syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.
“Jadi saya nasihatkan, mereka perlu membuat semakan terlebih dahulu sama ada penyedia latihan yang ingin disertai mereka mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai ini,” katanya.
Menurut Hannah, pelepasan cukai bagi 103 jenis sukan juga dapat membantu sukan-sukan yang kurang popular berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, selepas diwartakan pihak berkepentingan boleh mengakses dana dan peruntukan untuk penganjuran program yang disediakan oleh KBS.
Tambah beliau, ketika ini pihak terlibat boleh memohon, antaranya geran padanan sukan, dana sukan komuniti dan pelepasan cukai bagi latihan sukan bernilai RM1,000.
“KBS bukan sahaja mahu pencapaian pingat tetapi kita juga hendak membudayakan sukan.
“Semakin banyak sukan yang rakyat suka, tidak kisah sukan apa, asalkan rakyat berpeluh dan kos rawatan (kesihatan) akan menurun apabila kanak-kanak serta generasi akan da- tang aktif bersukan,” katanya.
Langkah perwartaan 103 sukan berbanding 51 sukan sebelum ini merupakan komitmen Hannah dalam memperkasakan KBS.
Sukan seperti e-sukan dan sukan tempur disenaraikan sebagai sukan yang diiktiraf di negara ini.