Kebuluran bertambah buruk di 16 negara

Kebuluran bertambah buruk di 16 negara


ISTANBUL – Masalah kebuluran dijangka bertambah buruk di 16 “hotspot” di seluruh dunia, termasuk Sudan, yang mana konflik telah menyebabkan berjuta-juta berisiko kelaparan, menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

Laporan oleh FAO dan Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, ketiadaan jaminan makanan yang teruk mengancam 22 negara.

Negara Nigeria, Sudan, Yaman, Ethiopia, Myanmar, Syria dan selatan Sudan antara lokasi kebuluran yang paling membimbangkan kerana menghadapi kekurangan makanan yang melampau.

“Di Sudan sahaja, 25 juta orang menghadapi kelaparan yang teruk. Di peringkat global, ratusan juta orang berisiko. Kami memerlukan sokongan global untuk menangani keperluan segera dan punca kelaparan,” tulis Pengarah Eksekutif WFP Cindy McCain di X yang merujuk kepada laporan.

Laporan itu memetik Palestin yang menghadapi isu kebuluran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, terutamanya di Semenanjung Gaza, yang mangakibatkan ‘malapetaka makanan’ meningkat hampir tiga kali ganda.

“Memandangkan peperangan di sana, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat akan senario terburuk menjadi kenyataan,” katanya.

Laporan itu menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin teruk di Lubnan, Mozambique, Haiti, Somalia dan Mali yang menyaksikan harga makanan tinggi, kesan iklim dan akses terhad merumitkan lagi tindak balas krisis.

Konflik, peristiwa iklim dan kemelesetan ekonomi mendorong kelaparan dan perpindahan yang teruk, dengan ratusan ribu berisiko kebuluran di kawasan tertentu.

Laporan itu menekankan risiko tambahan kemungkinan El Nino, dijangka berterusan dari Januari hingga Mac 2025.

El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menghangatkan suhu permukaan lautan di Pasifik tengah dan timur.

Corak cuaca ini menimbulkan kebimbangan mengenai iklim ekstrem di negara yang terdedah.

Laporan itu mencadangkan tindakan kemanusiaan segera untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian serta mencegah kebuluran dan kematian. – Agensi



Source link

OR

Scroll to Top