BEKAS pertahanan Manchester United, Jaap Stam masih ragu-ragu sama ada pasukan itu mampu melakukan perubahan dengan hanya menukar pengendali kelab.
Stam yang turut beraksi untuk United ketika kempen bersejarah memenangi treble 1998-99, percaya bahawa kualiti di kelab lamanya itu perlu dipertingkatkan.
United telah mengumumkan pelantikan bekas pengendali Sporting Lisbon, Ruben Amorim sebagai pengendali baharu pasukan itu.
“Semua orang tahu bahawa apabila pengurus baharu datang, pemain akan cuba membuktikan kemampuan mereka. Mereka semua mahu memulakan dan menunjukkan kepada pengurus apa yang mereka boleh lakukan.
“Selepas beberapa minggu pengurus memilih pemainnya, anda akan melihat bahawa beberapa pemain tidak gembira lagi jadi anda boleh mengalami keadaan yang sama seperti sebelum ini.
“Adakah (Amorim) akan membawa pemain ini ke tahap di mana mereka boleh bersaing untuk tempat empat teratas? Susah untuk diperkatakan.
“Kita sentiasa boleh melihat pengurus bertukar ganti, tetapi kita juga perlu melihat pemain dan prestasi mereka sebagai individu.
“Pemain perlu meningkat dan menunjukkan lebih konsisten dan kualiti dalam permainan kerana jika tidak, kita akan menghadapi masalah yang sama,” katanya.
Selepas pemecatan Erik Ten Hag, United kembali garang apabila meledak lima gol ketika menentang Leicester dalam saingan Piala Liga.
Sebelum ini, pasukan itu gagal menjaringkan lima gol dalam perlawanan menentang pasukan Liga Perdana yang lain sepanjang tempoh Ten Hag tetapi berjaya mencatatkan kejayaan pada perlawanan pertama selepas pengendali kelahiran Belanda itu dipecat.
Dalam pada itu, Stam masih percaya bahawa bekas jurulatih Ajax itu berhak diberikan lebih banyak masa selepas dia telah diberikan kontrak baharu.
“Pada hari selepas kekalahan kepada West Ham, saya fikir ia adalah satu keputusan yang pelik untuk memecatnya.
“Anda tidak boleh mengharapkan United memenangi setiap perlawanan. Anda memberi pengurus kontrak baru, anda menyokongnya dengan membawa masuk pemain baharu, membelanjakan banyak wang. Anda juga tahu bahawa pasukan itu tidak cukup konsisten untuk bersaing untuk kedudukan empat teratas.
“Saya fikir United perlu memberinya lebih banyak masa untuk berkembang dan lihat pada penghujung musim,” katanya.