BANGKOK- Pihak berkuasa berkaitan sistem kehakiman di Thailand dikritik kerana gagal membawa defendan yang terlibat dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai ke muka pengadilan sebelum tempoh statute of limitation berakhir.
Banyak pihak termasuk menggesa supaya sistem pengadilan di negara itu ditambah baik supaya menjadi lebih efisyen termasuk memanjangkan tempoh statute of limitations bagi pendakwaan kesalahan jenayah.
Para pemerhati turut menjangkakan, kegagalan pihak berkuasa membawa defendan ke muka pengadilan bakal meningkatkan ketegangan di Selatan Thailand susulan ramai penduduk tempatan yang hilang keyakinan terhadap kerajaan dan sistem kehakiman.
Mereka memberi amaran bahawa situasi keselamatan di rantau berkenaan mungkin semakin teruk sekiranya keadilan terus ditangguhkan atau dinafikan.
Ini bakal menyebabkan kerajaan Paetongtarn semakin sukar untuk meneruskan usaha damai jauh ke bahagian selatan negara tersebut.
Tempoh 20 tahun untuk statute of limitations bagi kes Tak Bai berakhir 11.59 malam, 25 Oktober lalu dan Mahkamah Provinsi Narathiwat mengisytiharkan kes berkenaan ditutup 28 Oktober lalu.
Pada 25 Oktober 2004, tujuh penunjuk perasaan yang terdiri daripada orang Islam terbunuh di hadapan balai polis Tak Bai di wilayah Narathiwat.
Manakala 78 lagi meninggal dunia akibat lemas atau kegagalan organ ketika dibawa menaiki trak ke kem askar di wilayah Patani yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Narathiwat.
Sebelum pembunuhan berlaku, penunjuk-penunjuk perasaan tersebut meminta supaya enam tahanan dibebaskan.
Tragedi Tak Bai berlaku semasa pemerintahan Perdana Menteri ketika itu, Thaksin Shinawatra. -Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL