MITI lancarkan TRIMA

MITI lancarkan TRIMA


KUALA LUMPUR- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) secara rasmi melancarkan Sistem Pengurusan Penyiasatan Remedi Perdagangan (TRIMA).

Platform digital itu merupakan langkah penting dalam memodenkan penyiasatan remedi perdagangan di Malaysia, dengan menyediakan sistem yang lebih lancar, cekap, dan selamat untuk menangani amalan perdagangan tidak adil yang memberi kesan kepada industri tempatan.

“Remedi Perdagangan” merujuk kepada tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk melindungi industri tempatan yang mengalami kemudaratan atau terjejas akibat amalan perdagangan tidak adil oleh pengeksport atau pengilang asing.

Contoh amalan tersebut termasuk “lambakan,” di mana produk import dijual di Malaysia pada harga di bawah kadar pasaran domestik negara asal, serta “subsidi,” di mana produk import menjadi lebih murah di Malaysia disebabkan oleh subsidi besar daripada kerajaan negara pengeksport.

Dalam situasi tertentu, perlindungan Kerajaan juga diperlukan untuk industri tempatan yang terkesan oleh lonjakan import yang tidak dijangka.

“Di bawah Akta Duti Timbal Balas dan Anti-lambakan 1993 (Akta) dan peraturan yang berkaitan, MITI mempunyai kuasa untuk menyiasat dan, jika perlu, mengenakan duti bagi mengurangkan kecederaan atau kemudaratan kepada industri tempatan di Malaysia.

“Siasatan remedi perdagangan MITI adalah sejajar dengan perjanjian WTO, yang memastikan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa sambil memastikan persaingan yang adil dalam pasaran domestik,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

TRIMA yang dirasmikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, turut menampilkan sesi latihan berpandu untuk pihak berkepentingan industri bagi membiasakan mereka dengan ciri-ciri teras platform tersebut sekaligus memudahkan peralihan kepada penyerahan permohonan remedi perdagangan secara digital.

Dengan inisiatif Malaysia yang baharu ini, iaitu TRIMA, Malaysia kini mempunyai operasi remedi perdagangan yang lebih lancar, telus dan mudah diakses dengan ciri- ciri utama seperti:

*Akses Tetingkap Tunggal: TRIMA berfungsi sebagai platform bersatu untuk semua urusan remedi perdagangan, memudahkan proses dan menyediakan sumber terpusat untuk perniagaan.

*Kecekapan Kos: Permohonan digital menghapuskan keperluan untuk dokumentasi bercetak, yang seterusnya mengurangkan kos pentadbiran.

*Kebolehcapaian Global: Permohonan boleh dihantar dari mana-mana sahaja, menggalakkan keterangkuman oleh pihak berkepentingan domestik dan

*Keselamatan Terperingkat: TRIMA melindungi data perniagaan yang sensitif, hanya boleh diakses oleh pihak yang diberi kuasa.

*Siasatan Cekap: TRIMA mempercepatkan masa tindak balas bagi industri yang terjejas, berpotensi memendekkan tempoh penyiasatan lebih cepat daripada tempoh berkanun semasa, iaitu sembilan bulan.

*Ketelusan: Sistem ini menyediakan akses dalam talian secara masa nyata bagi dokumen siasatan semasa dan yang terdahulu.

*Kemampanan: Dengan meminimumkan penggunaan dokumen cetak dan keperluan perjalanan, TRIMA menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon.

Menurut MITI, sejak Akta Duti Timbal Balas dan Anti-lambakan 1993 digubal, Malaysia telah mengenakan 68 langkah anti lambakan.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sahaja, sebanyak 22 siasatan anti lambakan telah dimulakan untuk melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan yang tidak adil.

“MITI komited untuk mengukuhkan pasaran bebas dan perdagangan adil dengan menyediakan perkhidmatan digital yang dipacu teknologi.

“Pelancaran TRIMA menandakan satu pencapaian penting dalam memodenkan perkhidmatan awam Malaysia, memastikan industri tempatan kekal berdaya saing dan bersedia untuk berjaya dalam ekonomi global yang semakin digital,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top