KUALA LUMPUR – Kebimbangan mengenai gaji berdasarkan kos sara hidup di bandar-bandar di Malaysia terus menghantui graduan.
Tinjauan trend pasaran kerja tahunan oleh GTI Media Malaysia mendapati sebanyak 86 peratus responden bimbang mengenai kos sara hidup yang meningkat berbanding pendapatan yang diterima.
Mereka menjangkakan gaji median yang bakal diterima sebagai graduan dalam lingkungan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan tahun ini.
Pengarah Urusan di GTI Media Malaysia Isaac Hee berkata, walau bagaimanapun, pertimbangan nilai masih memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan graduan dalam mencari pekerjaan.
“Sebanyak 85% responden mengatakan bahawa unsur etika dan moral sangat mempengaruhi pemilihan majikan, manakala 78% responden merasakan bahawa rekod prestasi majikan yang berpotensi dalam kelestarian alam sekitar amat penting bagi mereka,” katanya dalam kenyataan.
Seramai 44,924 pelajar dan graduan daripada 169 universiti tempatan dan luar negara telah mengambil bahagian dalam tinjauan yang telah dijalankan bermula Januari hingga September 2024.
Responden diminta menyenaraikan majikan yang mereka ingin hantar permohonan kerja selepas tamat pengajian, serta mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi proses pencarian kerja dan pemilihan majikan.
Sebanyak 58 peratus graduan menyatakan mereka berhasrat untuk mencari peluang pekerjaan di luar Malaysia selepas menamatkan pengajian dengan 74 peratus responden berkata bahawa peluang pembangunan kerjaya lebih baik di luar negara
Manakala 47 peratus graduan sedang mempertimbangkan untuk memulakan perniagaan mereka sendiri selepas tamat pengajian.
Maybank sekali lagi telah tersenarai sebagai majikan paling diidamkan dalam kalangan pelajar dan graduan tempatan tahun ini.
Selain berjaya mengungguli tempat pertama buat kali ketujuh dalam senarai seratus majikan paling popular Maybank juga berjaya mengekalkan kedudukan teratas dalam kategori perbankan buat kali kesembilan berturut-turut.
Tempat kedua dalam senarai tersebut sekali lagi disandang oleh Petronas dan firma perakaunan dan perkhidmatan profesional, EY, melonjak ke tangga ketiga pada tahun ini.-MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL