Keluarga harap Siti Rohani ditemui segera

Keluarga harap Siti Rohani ditemui segera



am@hmetro.com.my

Alor Setar: Keluarga Siti Rohani Saad, 37, yang dilaporkan hilang selepas motosikalnya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, semalam menaruh harapan tinggi yang mangsa masih hidup.

Kakak kelimanya, Naziroh Saad, 50, berkata, adik bongsu dari sembilan beradik itu tinggal bersamanya di Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena.

Katanya, adiknya itu masih bujang dan sudah lama bekerja di sebuah restoran di Jalan Pegawai sejak lima tahun lalu dan pergi serta balik menunggang motosikal seorang diri.

“Selalunya bila balik kerja, dia letih dan terus tidur dalam biliknya tetapi adakalanya dia pergi ke sungai untuk mengail ikan tetapi kelmarin dah (sudah) hujan, dia tak pergi la.

“Semalam masa kejadian, dia keluar rumah macam biasa saja tetapi kalau ada apa-apa dia akan hubungi keluarga.

“Kadang-kadang dia mengadu sakit kepala lepas balik kerja tetapi sebelum keluar kerja semalam dia macam biasa saja,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, operasi pencarian hari kedua diteruskan hari ini pada jam 8.30 pagi.

Beliau berkata, operasi hari ini turut menggunakan khidmat anjing pengesan K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Operasi pencarian mangsa diteruskan di lokasi penemuan motosikal mangsa di sungai ini hari ini,” katanya di sini hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai pasukan BBP Jalan Raja dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani selain pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar.

Media semalam melaporkan, seorang wanita dikhuatiri lemas susulan motosikalnya ditemukan dalam Sungai Titi Haji Idris, di sini semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top