am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Bukan sahaja menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), seramai 36 wanita warga asing dikesan turut melakukan aktiviti tidak bermoral sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).
Dengan bayaran serendah RM50 untuk teman minum serta sehingga RM800 untuk pakej bawa balik, mereka juga didapati menggunakan nama samaran bagi mengaburi pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, pihaknya berjaya membongkar aktiviti itu apabila menyerbu dua pusat hiburan di Taman Mount Austin, di sini, kira-kira 1.30 pagi kelmarin.
Menurutnya, dalam Ops Gegar itu, seramai 43 warga asing termasuk wanita disyaki GRO terbabit serta tiga majikan warga tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, operasi dijalankan kerana premis ini dipercayai menggaji pekerja tanpa pas atau permit yang sah serta menjalankan aktiviti tidak bermoral.
“Premis hiburan ini didapati menawarkan GRO sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 dan turut menawarkan pakej bawa pulang dengan harga berlainan.
“Hasil siasatan awal juga mendapati warga asing ini memasuki Malaysia menggunakan PLS sebagai pelancong, namun menyalahgunakan kemudahan yang diberikan.
“GRO warga asing ini dipercayai menggunakan nama samaran, namun taktik mereka berjaya dikesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rusdi berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan 36 wanita warga Thailand, tiga lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Vietnam serta seorang lelaki warga Laos berusia 21 tahun hingga 47 tahun.
Menurutnya, turut ditahan, tiga lelaki warga tempatan berusia 19 hingga 52 tahun yang juga pemilik premis dan penjaga premis terbabit.
Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“JIM memberi amaran keras terhadap majikan dan pemilik premis supaya mematuhi undang-undang. Kita tidak akan berkompromi serta tindakan tegas akan diambil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd