Qatar jadi negara kedua buka kedutaan di Putrajaya

Qatar jadi negara kedua buka kedutaan di Putrajaya


PUTRAJAYA: Setelah 20 tahun, Qatar akhirnya memindahkan kedutaan negara tersebut dari Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Canseri negara berkenaan di alamat 725, Jalan Diplomatik 2/6 itu malah merupakan lokasi tertinggi di Presint Diplomatik dengan panorama indah menghadap ke arah Putrajaya.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin merasmikan bangunan kedutaan tersebut yang terdiri dua tingkat dan satu aras bawah tanah dibina arkitek terkenal Ibrahim Jaidah.

Majlis itu turut disaksikan sendiri oleh Setiausaha Agung Kementerian Luar Qatar, Dr. Ahmad Hassan al-Hammadi dengan Duta Besarnya ke Malaysia, Salah Mohammed Al-Sarour; Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Malaysia dan Qatar menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1974 dengan kedua-dua negara merupakan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam dan Pergerakan Negara Berkecuali.

Bagaimanapun, Malaysia mula membuka pejabat kedutaannya di ibu kota Doha pada Ogos 2004 manakala negara itu menubuhkan canserinya di Kuala Lumpur sebulan kemudian.

Berucap ketika perasmian itu, Mohamad berkata, ia menandakan satu pencapaian penting dan amat signifikan kepada jaringan diplomatik dua negara yang memasuki tahun ke-50.

“Kami berkongsi komitmen kuat kerjasama dalam pelbagai bidang dan percaya kedutaan ini bakal menjadi mercu bagi tanda perhubungan aspirasi erat serta nilai bersama,” katanya.

Qatar muncul menjadi negara yang kedua memindahkan premis diplomatiknya itu ke Putrajaya selepas Brunei dengan Suruhanjaya Tingginya terletak di No.2, Jalan Diplomatik 2/5.

Kawasan Presint Diplomatik direka khas sejak 2010 bagi penempatan pelbagai kedutaan dengan berkeluasan 84 hektar dan ketika ini kesemua lot pun sudah ditempah 28 negara. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top