PUTRAJAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran yang dibawa GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) adalah sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam.
Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat MKI Kali ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu setelah yakin and berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang dikemukakan oleh penyelidik.
Pengerusi MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana orang lain mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ia berdasarkan kepada fakta bahawa pegawangan GISBH iaitu:
i) Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi.
ii) Asaari bin Muhammad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman;
(iii) Asaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya;
(iv) air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai keberkatan;
(v) mengamalkan ekonomi riba ashi yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah; atau
(vi) mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.
“Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan, dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan kerana perkara ini membawa penyelewengan daripada ajaran Islam yang sebenar,” katannya dalam kenyataan hari ini.
Berita menyusul