am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mengesahkan ajaran, pegangan dan fahaman dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam harus disokong dan dihormati.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana ia adalah langkah pencegahan yang diambil demi kebaikan dan kemaslahatan umat Islam.
“Keputusan MKI untuk mengisytiharkan ajaran Nasiruddin dan syarikat GISBH sebagai sesat menandakan pentingnya peranan institusi agama peringkat persekutuan dan negeri dalam melindungi umat Islam daripada unsur dan ciri yang boleh mengelirukan dan menyeleweng dalam kalangan umat Islam.
“Ajaran yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), bukan sahaja membahayakan individu, namun boleh membawa kepada ancaman keselamatan negara, di samping bertentangan dengan Maqasid as-Syariah,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi MKI, Datuk Nooh Gadut, bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin dan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, menangani ajaran yang dianggap sesat atau menyeleweng memerlukan kerjasama banyak pihak seperti pihak berkuasa agama negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain berkaitan.
Beliau berkata, ia memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, selain elemen mendidik yang perlu diberi penekanan.
“Selain tindakan tegas seperti larangan dan pemantauan, usaha memberikan kesedaran melalui pendidikan dan dakwah yang berterusan juga perlu seiring.
“Umat Islam perlu didedahkan dengan kefahaman yang jelas mengenai ajaran Islam sebenar agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang daripada akidah ASWJ,” katanya.
Beliau turut berharap agar MKI bersama-sama jabatan agama islam negeri serta pihak berkuasa lain dapat bekerjasama dalam melaksanakan pemantauan lebih efektif terhadap kumpulan yang mungkin membawa ajaran mencurigakan dan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
“Ini termasuk mengukuhkan peranan institusi agama dalam menyebarkan maklumat serta membantu masyarakat agar lebih peka terhadap ajaran yang mungkin mengandungi unsur kesesatan dan penyelewengan.
“Akhirnya, kita sebagai umat Islam juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk sentiasa berwaspada dan menilai sumber ilmu yang diperoleh.
“Umat Islam perlu berpegang kepada panduan yang sahih dari al-Quran dan sunnah.
“Mudah-mudahan tindakan MKI ini dapat memelihara umat Islam di Malaysia daripada terjerumus ke dalam ajaran yang mengelirukan, sesat dan menyeleweng,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd