Buat julung kali lapan artis terkenal dari dua negara, Malaysia dan Indonesia bakal berkongsi pentas sempena Festival Muzik Nyalafest 2024 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 November ini.
Mereka terdiri daripada artis terkenal Indonesia, Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya dan Fugo manakala artis tuan rumah pula dibarisi Noh Salleh X Restoe Iboe.
Ketua Pegawai Eksekutif RF3 Entertainment, Muhammad Nashreen Syazwan Nazeri berkata, pihaknya bangga dapat bersama meraikan acara yang membariskan artis berbakat daripada dua negara serumpun.
Katanya, pasukan kreatif acara itu berkerja keras mendapatkan barisan artis yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik rantau ini.
“Selain dibarisi bakat besar dalam bidang nyanyian, festival ini juga bakal mengetengahkan lagu yang mendapat tempat dalam carta muzik dan diminati peminat muzik.
“Ketika ini setiap artis giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat bagi menghiburkan pengunjung.
“Bagaimanapun, senarai lagu disampaikan artis akan dirahsiakan sehingga hari persembahan,” katanya.
Berkongsi mengenai pemilihan Noh sebagai artis jemputan, Muhammad Nashreen berkata, Noh sudah beberapa kali bekerjasama dengan penganjur dan persembahannya sering mendapat sambutan peminat.
“Persembahan Noh diiringi Restoe Iboe pasti memberi kejutan. Ini kerana Noh sering kali tampil solo, tetapi kali ini bakal beraksi bersama band, sekali gus memperlihatkan persembahan berbeza,” katanya.
Mengulas soal pemilihan lokasi pula, Muhammad Nashreen memberitahu lokasi Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dipilih kerana ia mampu memuatkan kapasiti lebih 15,000 penonton.
Mengenai jualan tiket pula menurutnya, lebih 60 peratus tiket sudah terjual sejak hari pertama penjualan dibuka pada 6 September lalu di laman web myticketempire dan ia dijangka berterusan sehingga menjelang hari konsert nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd






