Kuala Lumpur: Penularan novel coronavirus 2019 (COVID-19) atau 2019-nCoV pada Disember 2019 di Wuhan, China memberi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Kerajaan Malaysia pada waktu itu cuba untuk mengawal penularan wabak tersebut dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berkala. Walaubagaimanapun, kes berjangkit yang kian meningkat menunjukkan bahawanya keadaan negara tidak akan pulih dalam satu jangka masa yang singkat. Ekonomi negara tidak boleh berada didalam keadaan tidak aktif dalam satu jangka masa yang panjang. Bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat, pelbagai sektor perlu dibangunkan kembali terutamanya sektor pendidikan yang turut terjejas semasa pandemik COVID-19.
Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada waktu itu memperkenalkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Dari peringkat sekolah rendah dan menengah, termasuk institusi pendidikan tinggi turut disarankan untuk mengadakan pembelajaran secara atas talian. Ini menyebabkan tenaga pengajar perlu bekerja lebih keras dan lebih kreatif dalam menarik minat dan perhatian para pelajar.
Tenaga pengajar perlu memikirkan teknik mengajar yang sesuai mengikut keadaan pelajar. Tidak semua pelajar boleh mengikut pembelajaran pada masa nyata iaitu dengan mengunakan Webex, Zoom, Google meet atau Microsoft Team yang memerlukan tahap kelajuan jalur lebar yang tinggi. Bagi pelajar yang tinggal di kawasan kampung dan pendalaman, teknik mengajar yang tidak segerak adalah lebih sesuai, iaitu dengan memberikan rakaman video pengajaran melalui aplikasi Whatsapp dan Telegram. Walaubagaimanapun, kaedah ini memerlukan pelajar untuk menjalankan pembelajaran secara kendiri. Disini peranan ibubapa amat penting bagi memastikan pelajar mengikuti pembelajaran secara menyeluruh. Pembelajaran atas talian memerlukan tenaga pengajar dan pelajar untuk berinteraksi secara aktif bagi memastikan proses penyampaian ilmu berjaya dilakukan walaupun tenaga pengajar dan pelajar tidak bersemuka di dalam kelas atau dewan kuliah.
Bagi memastikan pelajar kekal aktif dan melibatkan diri dalam sesi pembelajaran, tenaga pengajar juga perlu mempelajari dan mencuba pelbagai aplikasi interaktif untuk digunakan dalam sesi pembelajaran. Kahoot dan Quizizz antara aplikasi pembelajaran berasaskan permainan yang digunakan untuk mengenalpasti tahap pemahaman pelajar selepas proses pembelajaran dilakukan. Padlet dan dropbox pula merupakan aplikasi yang digunakan untuk mengumpulkan dan memaparkan maklumat bagi memudahkan pelajar mengulangkaji dan membuat rujukan. Ini menunjukkan bahawa tenaga pengajar telah berusaha untuk mempelbagaikan teknik pengajaran dan penyampaian maklumat secara berterusan kepada pelajar.
Pembelajaran atas talian bukanlah satu teknik pengajaran yang baru. Tetapi, kewujudan pandemik COVID-19 telah mengubah lanskap sektor pendidikan negara ini dan memaksa pengajar, pelajar malah pembuat dasar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak yang tidak pernah dihadapi sebelum ini. Ia membuka ruang dan peluang untuk merangka semula sistem pendidikan negara untuk lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan semasa. Seterusnya memberi satu anjakan paradigma dalam sistem pendidikan negara untuk mengorak langkah bagi memberikan transformasi pendidikan digital di dalam sistem pendidikan negara ini.
Info Penulis:
Puan Sharina Binti Mohd Salleh
Lecturer,
UNITEN Business School,
University Tenaga Nasional,
26700 Muadzam Shah, Pahang Malaysia.
E-mail: Sharina@uniten.edu.my