NSRC rekod 131,036 panggilan aduan kes penipuan

NSRC rekod 131,036 panggilan aduan kes penipuan



mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) merekodkan 131,036 jumlah panggilan aduan daripada orang ramai sepanjang Oktober 2022 hingga September lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, daripada jumlah itu, 52,836 merangkumi panggilan mangsa penipuan dengan jumlah kerugian dilaporkan RM302.1 juta selain 103,557 akaun bank dikesan sebagai akaun keldai.

Katanya, kerajaan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 untuk meminda Akta 574 dan Akta 593.

“Pindaan yang dibuat kepada Akta 574 dan Akta 593 menerusi kedua-dua RUU ini memfokuskan kepada mewujudkan kesalahan jenayah dalam talian berkaitan akaun keldai (mule account) dan peruntukan baharu yang memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk menyita wang yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah yang disimpan dalam apa-apa institusi kewangan.

“Dalam hal ini, pindaan kepada Akta 593 antara lain memasukkan peruntukan baharu Seksyen 116D untuk memberi pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan kuasa untuk menyita atau melarang urusan dalam apa-apa wang yang dipegang dan disyaki untuk dipegang dalam mana-mana instrumen pembayaran atau mana-mana akaun di institusi kewangan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.

“Pindaan ini membolehkan polis tidak hanya menyita tetapi untuk menghalang harta itu dibuat urus niaga lain dengan tujuan menghalang duit mangsa dikeluarkan daripada mule account dan seterusnya akan melengkapi peruntukan sedia ada, iaitu Seksyen 435 Akta 593 berkenaan kuasa polis untuk menyita harta yang disyaki dicuri (termasuk penipuan) yang lebih menjurus kepada harta fizikal,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal dan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai bila kerajaan akan undang-undang yang memberikan kuasa kepada polis atau bank untuk menyekat sementara urus niaga perbankan bagi individu yang menjadi sasaran penipuan tetapi enggan mempercayai bahawa mereka sedang diperdaya serta berapa jumlah kes dikenal pasti.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, usaha menggubal RUU itu sebagai langkah bagi memastikan persekitaran dalam talian menjadi platform selamat untuk rakyat Malaysia terutama kanak-kanak.

“Antara lain RUU ini juga akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan mana-mana kandungan yang dilaporkan sebagai kandungan memudaratkan.

“Di bawah RUU ini, jenayah kewangan dalam talian dikategorikan sebagai kandungan serius dan memberi keutamaan yang bermakna sekiranya sesuatu kandungan ini dilaporkan sebagai jenayah kewangan dalam talian, maka penyedia platform mempunyai kewajipan menurunkan kandungan secara interim sehingga siasatan lanjut dibuat.

“RUU baharu ini dijangka ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top