Kontrak FWCMS: PAC panggil KDN 10 Disember ini

Kontrak FWCMS: PAC panggil KDN 10 Disember ini


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk prosiding mengenai perolehan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing (FWCMS) pada 10 Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya berpandangan kontrak FWCMS antara kerajaan dengan syarikat, Bestinet Sdn. Bhd (Bestinet) yang ditandatangani pada September lalu sebagai langkah kurang cermat.

Menurut beliau, caj bayaran yang dikenakan adalah tinggi dan akan membebankan majikan serta pekerja asing.

Jelasnya, PAC akan memanggil Jawatankuasa Induk FWCMS yang dipengerusikan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta tiga ahli Jawatankuasa Induk termasuk Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan KSU Kementerian Dalam Negeri (KDN, Datuk Awang Jeman.

Selain itu, katanya, turut dipanggil adalah KSU Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, Dr. Fazidah Abu Bakar.

“Keterangan dan penjelasan daripada Jawatankuasa Induk FWCMS ini penting bagi PAC mendapatkan justifikasi terhadap keputusan Kerajaan menandatangani kontrak perjanjian Sistem FWCMS dengan Bestinet,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, keputusan kerajaan untuk menandatangani kontrak tersebut dimaklumkan kepada PAC dalam prosiding tindakan susulan KESUMA dan KDN bagi syor-syor laporan pihakna berhubung pengurusan pekerja asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS yang diadakan pada 6 November lalu berdasarkan Arahan Perbendaharaan 304(b) pindaan 2023.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Ramzi Mansor; Awang Alik dan Azman hadir sebagai saksi dalam prosiding tersebut.

“Prosiding tindakan susulan ini, diadakan bagi mengetahui maklum balas KDN dan KESUMA terhadap lima syor yang dikemukakan PAC dalam laporan mengenai isu ini yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 Julai lalu.

“Dalam Laporan Tindakan Susulan ini, PAC telah memberikan ulasan pada setiap maklum balas yang diberikan KDN dan KESUMA terhadap lima syor yang dikemukakan Jawatankuasa ini.

“Berikutan itu, PAC sebulat suara dalam perbincangan khas yang diadakan semalam, telah membuat keputusan untuk memulakan prosiding berhubung Perolehan Sistem FWCMS oleh KDN pada 10 Disember ini,” jelasnya.





Source link

OR

Scroll to Top