CHENGDU – Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mahu melihat barisan pemain perseorangan negara lebih mantap sekali gus memberikan tentangan sengit apabila tampil pada edisi 2026 Piala Thomas di Horsens, Denmark.
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lagi, skuad lelaki akan lebih seimbang memandangkan kem beregu negara lebih stabil berbanding perseorangan negara yang tidak mempunyai kekuatan sama rata ketika ini.
“Pemain harus lebih tegas. Sejujurnya, kita memang harap dapat ambil mata daripada seorang pemain perseorangan dan dua beregu namun negara lain dapat tutup satu sama lain.
“Kita pasti Lee Zii Jia merasakan tekanan namun kalau kita ada pemain perseorangan kedua dan ketiga yang sama rata (kualiti) mungkin tekanan berkurangan (untuk perseorangan pertama),” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.
Rexy turut mengakui kebergantungan kepada Zii Jia turut menjadi punca Malaysia tumbang kepada China 1-3 pada separuh akhir semalam, sekali gus meranapkan impian menamatkan kemarau 32 tahun untuk menjulang Piala Thomas.
Zii Jia tewas dalam perlawanan pertama kepada pemain tuan rumah Shi Yu Qi 19-21, 5-21 manakala perseorangan kedua Leong Jun Hao pula tunduk kepada pemenang pingat emas Sukan Asia 2022, Li Shi Feng 17-21, 10-21.
Justeru beliau berkata, sesi penilaian semula akan dilakukan oleh barisan kejurulatihan terhadap program latihan serta sikap pemain bagi memastikan barisan perseorangan lelaki negara tidak terus ketinggalan dengan negara lain.
Ketika ini, hanya Zii Jia yang juga pemain profesional negara menduduki kelompok 10 pemain terbaik manakala pemain utama di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Tze Yong pula berada di ranking ke-18.
Selain Zii Jia, tiga lagi pemain perseorangan yang disenaraikan ke Piala Thomas kali ini berada dalam kedudukan di luar kelompok 30 terbaik dunia iaitu Jun Hao (ke-37), pemain profesional Cheam June Wei (ke-63) dan Justin Hoh (ke-233).
Tze Yong terlepas saingan Piala Thomas kali ini selepas disahkan belum pulih daripada kecederaan belakang.
Dalam pada itu, Rexy berharap barisan pemain muda lain seperti Eogene Ewe dan Ong Ken Yon mempunyai sikap dahagakan kejayaan dengan meningkatkan prestasi pada masa depan sekali gus memantapkan lagi kem perseorangan negara.
Sementara itu, Rexy berkata pemain perseorangan wanita negara seperti K. Letshanaa dan Wong Ling Ching mampu mencontohi pemain profesional Goh Jin Wei yang tetap bersemangat tinggi biarpun dibelenggu masalah kesihatan di bahagian perut.
“Walaupun keadaan Jin Wei tidak mengizinkan namun dia memberikan saingan dalam gelanggang. Ini mentaliti yang perlu dimiliki pemain wanita kita. Malah dia beritahu saya, dia makan sekali sahaja namun pemain lain yang makan lima kali sehari beraksi seperti kurang bertenaga,” katanya.
Beliau pada masa sama tidak menolak kemungkinan akan mengekalkan gandingan ketua pasukan skuad Piala Uber, Teoh Mei Xing dan Go Pei Kee yang menampilkan aksi positif di Chengdu sebelum ini.
Malaysia gagal ke suku akhir sejak 2010 apabila tumpas dua kali dalam aksi Kumpulan B, masing-masing kepada Taiwan 1-4 dan 0-5 kepada Thailand sebelum menutup kempen mengalahkan Australia 4-1. – BERNAMA