Kuala Lumpur: Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida akan memberikan sepenuh komitmen dan menyelesaikan isu kegagalan melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilangnya sehingga barangan rumah serta empat kenderaan mewah terpaksa disita hari ini.
Vida yang dilaporkan berada di China ketika ini berkata, dia sudah melantik peguam untuk menyelesaikan perkara itu dengan cara terbaik.
“Saya ingin memaklumkan saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Saya sudah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan mengikut lunas undang-undang,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.
Dalam masa sama, Vida memohon semua pihak memberikan ruang kepadanya menyelesaikan kes terbabit.
“Saya amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap agar diberi ruang untuk menangani perkara ini dengan tenang dan profesional,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Vida gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kilangnya di Shah Alam, Selangor, yang dijadikan sebuah studio pada tahun 2018 berjumlah RM1,060,285.
Berikutan itu, perintah penyitaan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Pihak mahkamah bersama peguam, Samir Zainal dan kontraktor Mohamad Taufik Kamarul melaksanakan perintah itu di kediaman Vida di Persiaran Bukit Meru, Ipoh, kira-kira 9 pagi, hari ini.
Difahamkan semua barang di dalam rumah kecuali bilik Vida yang berkunci sudah disita selepas hampir empat jam.
Vida juga mempunyai dua minggu sehingga 9 Disember ini untuk menjelaskan hutang itu, jika tidak barang-barang disita terbabit akan dilelong.
© New Straits Times Press (M) Bhd