Pengurus rugi RM1.1 juta kerana 'Tony' dan 'Tuan Zaki'

Pengurus rugi RM1.1 juta kerana 'Tony' dan 'Tuan Zaki'



harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sudah berbuih mulut, sudah kering tekak beri peringatan tetapi masih ada yang terpedaya.”

Itu kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika mengulas berkenaan kes penipuan telefon yang mana ramai mangsa terpedaya dengan taktik sama yang sudah banyak kali dihebahkan.

Terbaharu katanya, wang simpanan berjumlah RM1.1 juta milik seorang pengurus kilang lesap akibat ditipu sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai anggota polis bernama ‘SI Tony’ dan ‘Tuan Zaki’.

Menurutnya, mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 55 tahun yang membuat laporan di Perai, Pulau Pinang pada 11 November lalu.

Wanita itu mendakwa menerima panggilan kononnya daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) pada 19 September lalu dan membuat 34 transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun bank.

“Pemanggil memaklumkan nombor telefon dan akun bank milik mangsa digunakan dalam kegiatan pengubahan wang haram di sekitar Kuching, Sarawak.

“Mangsa menafikan pembabitannya dalam aktiviti berkenaan, seterusnya diarahkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kerana kejadian berlaku di sana.

“Panggilan kemudiannya kononnya disambungkan ke IPK Sarawak dan mangsa bercakap dengan ‘SI Tony’,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini semalam.

Ramli berkata, susulan itu wanita itu dihubungi oleh ‘Tuan Zaki’ yang mengarahkannya untuk memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan dan diugut akan dihadapkan ke mahkamah, jika ingkar.

Katanya, gusar dengan ugutan itu, mangsa akhirnya terpedaya dan menurut sahaja arahan yang diberikan kepadanya dan membuat transaksi pemindahan wang bermula 25 September hingga 5 November lalu.

“Mangsa hanya sedar ditipu apabila memberitahu hal ini kepada suaminya lalu membuat laporan kepada polis,” katanya.

Sehubungan itu beliau memberi peringatan kepada orang awam supaya tidak melayan panggilan kononnya daripada pihak polis yang kemudiannya menuduh mereka melakukan jenayah melalui telefon.

Katanya, pihak polis tidak akan menelefon orang awam secara tiba-tiba melainkan orang awam terbabit sudah sedia maklum berhubung panggilan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top