kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Radium Development Berhad (Radium) mengambil satu lagi langkah penting dalam komitmennya terhadap pembangunan bandar yang mampan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GreenRE Sdn Bhd (GreenRE).
MoU itu menandakan perkongsian penting untuk menyepadukan amalan bangunan hijau di seluruh projek Radium, menyumbang kepada cita-cita Malaysia untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan berkata, melalui perkongsian ini, Radium akan memanfaatkan kepakaran luas GreenRE dalam reka bentuk mampan dan pensijilan bangunan untuk memasukkan prinsip hijau ke dalam pembangunannya sambil memastikan ia memenuhi piawaian alam sekitar yang ketat.
Katanya, kerjasama ini mengukuhkan visi jangka panjang Radium untuk mengurangkan jejak karbon di seluruh projeknya sambil memberi nilai tambah kepada pemilik rumah, pembiaya dan orang ramai.
“Perkongsian kami dengan GreenRE mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk membina komuniti yang mampan dan menyumbang kepada agenda hijau Malaysia.
“Dengan memperakui pembangunan kami dengan GreenRE, kami mengurangkan kesan alam sekitar dan menyediakan faedah jangka panjang kepada pelanggan dan pihak berkepentingan melalui ruang yang lebih hijau, lebih sihat dan nilai yang dipertingkatkan,” katanya di majlis menandatangi MoU di sini, semalam.
Beliau berkata, Radium sudah mencapai Pensijilan Emas GreenRE Sementara untuk pembangunan utamanya, Chancery Ampang, KL (Chancery) dan baru-baru turut melancarkan kediaman bandar, Radium Arena @ Old Klang Road, serta Pensijilan Perak GreenRE Sementara untuk kediaman bandar Radium Adesa @ Sungai Besi.
Menurutnya, pensijilan itu menyerlahkan dedikasi kumpulan untuk menyepadukan prinsip hijau di seluruh portfolio Radium.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GreenRE Sdn Bhd, Ir Ashwin Thurairajah berkata, pihaknya bangga bekerjasama dengan Radium Development untuk mempromosikan amalan bangunan hijau yang sejajar dengan matlamat kemampanan negara.
“Melalui perkongsian ini, kami menyasarkan untuk memacu inovasi dan menetapkan penanda aras baharu dalam sektor pembangunan hartanah.
“Kerjasama berkenaan bukan sahaja mencerminkan kepimpinan Radium dalam pembinaan bandar yang mampan, tetapi juga menawarkan faedah ketara untuk pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Berikutan pemeteraian MoU itu, Ketua Pegawai Pemasaran Radium, Kenneth Khoo memperkenalkan Chancery, pejabat kecil rumah kecil (SOHO) hibrid pertama pusat bandar Kuala Lumpur yang menampilkan ‘Taman Gaya Hidup’ mesra haiwan peliharaan berkeluasan 10,000 kaki persegi.
© New Straits Times Press (M) Bhd