Kuala Berang: Seorang pemuda di Kampung Chapu, di sini, mengikat tiga tong dram di bawah katil boleh laras bapanya yang terlantar sakit bagi memberi keselesaan selain memudahkan warga emas itu untuk solat ketika rumah mereka dilanda banjir.
Zulkifli Che Noh, 37, berkata, idea mengikat tong dram dengan menggunakan tali itu dicadangkan penduduk kampung memandangkan bapanya, Che Noh Che Hassan, 79, tidak mampu untuk bangun atau duduk sejak awal tahun ini akibat penyakit saraf.
“Ayah sakit saraf sudah 20 tahun tetapi dia terlantar sejak 10 tahun lalu. Sebelum ini, dia masih boleh duduk di atas kerusi selama beberapa minit, tetapi tahun ini, ayah tidak lagi dapat duduk di kerusi dan hanya terlantar di atas katil.
“Sebelum ini, apabila rumah dinaiki air, ayah akan duduk di atas kerusi yang ada pemegang dan saya bersama penduduk kampung akan angkat ayah bersama kerusi itu untuk naik ke atas loteng rumah.
“Tahun ini, saya memikirkan cara supaya tidak perlu lagi mengangkat ayah naik ke atas loteng,” katanya dihubungi Bernama.
Pekerja swasta itu berkata, sejak minggu lalu, dia mencuba pelbagai kaedah penyusunan tong dram di bawah katil bagi membolehkan katil Che Noh terapung selain mudah dipusing ke arah kiblat apabila bapanya mahu menunaikan solat.
Usahanya itu membuahkan hasil apabila katil itu berjaya diapungkan meskipun air memasuki rumah mereka sehingga separas paha pada tengah hari Rabu lali.
Katanya, bapanya tidak perlu lagi diangkat ke atas loteng ataupun berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) walaupun rumah dinaiki air.
“Selama ini pun ayah biasanya hanya tinggal di loteng rumah kalau banjir kerana dia tidak selesa untuk tinggal di PPS berikutan keadaan kesihatannya itu.
“Jadi, saya bersama ibu (Zainab@Halimah Ismail, 77) dan adik-beradik bergilir menjaga ayah di rumah sepanjang banjir ini sementara ahli keluarga lain berada di PPS,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, sekiranya keadaan banjir semakin memburuk dan diarahkan berpindah ke PPS, mereka sekeluarga akan berikhtiar untuk memujuk dan membawa ayahnya ke PPS.
Tambahnya, kawasan rumah berkenaan saban tahun dinaiki air pada musim tengkujuh ekoran terletak berhampiran sungai malah dia juga sudah lali dengan bencana terbabit yang dialaminya sejak kecil.-Bernama
© New Straits Times Press (M) Bhd