Negeri Sembilan FC layak ke suku akhir Piala Malaysia

Negeri Sembilan FC layak ke suku akhir Piala Malaysia


PETALING JAYA: Negeri Sembilan FC (NSFC) melakukan kebangkitan untuk memastikan tiket ke suku akhir Piala Malaysia menjadi milik mereka apabila menewaskan PDRM FC 3-0 sekali gus mencatat kemenangan agregat 4-2 dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Skuad kendalian P. Maniam yang sebelum ini menewaskan NSFC 2-1 pada Ahad lalu gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila gawang mereka bolos seawal minit keenam menerusi gol sendiri Eizrul Ashraf Nor Effendy berpunca daripada sepakan percuma Hadin Azman dari luar kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan tersebut, PDRM FC cuba mengatur beberapa gerakan bagaimanapun usaha mereka untuk menembusi gawang pasukan pelawat menemui jalan buntu.

Skuad kendalian K. Nanthakumar hampir menggandakan jaringan pada minit ke-19 bagaimanapun gol Jacque Faye dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat memperoleh gol kedua hasil jaringan Hadin pada minit ke-53 berpunca daripada gerakan pemain tengah, Takumi Sasaki.

Gol ketiga NSFC hadir pada minit ke-80 selepas Selvan Anbualagan menerima hantaran jauh dari Muhamad Norfiqrie Abdul Talib sebelum memperdayakan penjaga gol tuan rumah, See Tian Keat.

NSFC akan bertemu sama ada Terengganu FC (TFC) atau Melaka FC dalam aksi suku akhir. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top