Gaza: Seorang kanak-kanak dan dua wanita maut dirempuh dalam satu kejadian rempuhan di sebuah kedai roti di bandar Deir el-Balah, tengah Gaza pada Jumaat lalu, kata hospital yang menerima mayat-mayat mangsa kejadian berkenaan.
“Seorang wanita dan ‘seorang gadis muda’ mati di depan sebuah kedai roti di Deir el-Balah akibat rempuhan ketika cuba membeli roti,” kata Hospital Al-Aqsa di Deir el-Balah dalam satu kenyataan.
“Kesesakan dan desakan sangat kuat di depan kedai roti. Tiba-tiba, kedengaran jeritan kuat dan mereka jatuh ke tanah…,” kata seorang saksi kepada AFP.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku,” kata Osama Abu Luban, bapa kepada gadis yang meninggal dunia itu kepada AFP.
“Saya pergi ke pasar bersama anak perempuan saya. Dia pergi membeli roti dan hampir berjaya mendapatkan seketul roti sebelum dirempuh oleh orang ramai. Mereka membawa keluar tubuhnya yang tidak bernyawa,” katanya.
Program Makanan Dunia PBB (WFP) berkata, semua kedai roti di Gaza terpaksa ditutup pada Rabu lalu kerana kekurangan bekalan yang memasuki wilayah Palestin itu dan memberi amaran bahawa ‘kebuluran semakin menghampiri’ di Gaza.
Israel mengenakan sekatan hampir sepenuhnya ke atas Gaza sejak perang bermula lebih setahun lalu, apabila Hamas melancarkan serangan luar biasa ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Sejak itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi antarabangsa lain berulang kali meminta Israel supaya membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke wilayah yang terkepung itu.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran pada Khamis lalu mengenai keadaan pemakanan yang semakin buruk di Gaza dengan dua pertiga kes malnutrisi akut dalam kalangan kanak-kanak pada 2024, dilaporkan dalam tempoh lima bulan lalu.
Israel terus melancarkan serangan hebat ke atas Gaza, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera.
Sejak itu, lebih 44,000 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 100,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di wilayah terkepung itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd