Kritikan terhadap pasukan saya tidak adil – Postecoglou

Kritikan terhadap pasukan saya tidak adil – Postecoglou


London: Bos Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, menegaskan bahawa kritikan terhadap pasukannya kerana gagal meneruskan kemenangan besar ke atas Manchester City minggu lalu adalah untuk menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ selepas Spurs diikat 1-1 oleh Fulham yang bermain dengan 10 pemain.

Tottenham mempamerkan aksi luar biasa ketika membenam juara bertahan, City, dengan kemenangan 4-0.

Namun, mereka gagal mengekalkan momentum apabila sekadar seri menentang Fulham, walaupun mendahului perlawanan dan berpeluang memanfaatkan kelebihan pemain selepas lawan kehilangan seorang pemain di hujung permainan.

Kekecewaan turut dirasai selepas Spurs kehilangan dua mata dalam saingan Liga Europa menentang Roma pertengahan minggu, dengan gol penyamaan masa kecederaan memadamkan usaha mereka untuk menang.

Namun, Postecoglou menegaskan masalah utama ialah ketiadaan pemain penting, termasuk penyerang Dominic Solanke yang sakit dan penjaga gol Guglielmo Vicario mengalami kecederaan.

Beliau turut menganggap kritikan terhadap pasukannya tidak adil.

“Saya rasa terlalu mudah untuk mengatakan ‘kenapa tak boleh main macam lawan Man City setiap kali?’,” katanya kepada media.

“Isu ini seolah-olah menjadi kebiasaan di kelab ini, di mana apa sahaja yang kita lakukan dengan baik dijadikan alasan untuk menjatuhkan kita pada kesempatan lain.”

Postecoglou menjelaskan bahawa kemenangan ke atas City memberikan peluang untuk menggunakan pemain seperti Timo Werner dan Brennan Johnson sebagai gantian, selain memiliki Vicario yang bertahan cemerlang di gawang.

“Saya rasa ada pihak yang mencari alasan mudah, tetapi jika mereka tidak faham apa yang pasukan ini sedang hadapi dan bagaimana pemain menghadapinya, saya rasa ia jelas kelihatan,” tambahnya.

“Kita perlu bersedia untuk hari-hari sukar seperti hari ini, di mana keadaan tidak berjalan lancar. Namun, apa yang boleh diminta adalah supaya pemain memberikan segala-galanya, dan saya rasa mereka berbuat lebih daripada itu hari ini.”

Dengan Spurs kini di tangga ketujuh tetapi hanya tiga mata dari kedudukan Liga Juara-Juara, Postecoglou optimis mengenai peluang pasukannya untuk baki musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top