IPOH: Kereta Perodua Ativa putih yang dipandu Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak pada 15 Disember 2023 berada dalam keadaan memecut dengan kelajuan 90.9 kilometer sejam (km/j).
Pembantu Teknikal Perodua di Perodua Sales Sdn. Bhd. Rawang, Ameerul Aidil Adha Jamharuddin, 31, turut menyatakan data pada kenderaan menunjukkan lampu brek dalam keadaan tertutup yang membawa maksud pedal brek tidak ditekan langsung semasa data direkodkan.
“Data darjah stereng menunjukkan -2.5 darjah dan pedal minyak dalam keadaan penggunaan maksimum (100 peratus) dan ini adalah penyebab Bantuan Brek (BA) tidak beroperasi kerana situasi memecut.
“Sekiranya pemandu dalam kes ini menekan brek secara mengejut atau brek kecemasan, data Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pula akan direkodkan,” katanya ketika membacakan penyataan bertulis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Menurut saksi pendakwaan ke-25 itu, maklumat tersebut diekstrak daripada Sistem Brek Anti-Kunci dan Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (ABS/VSC) iaitu sistem yang menyimpan segala data operasi keselamatan kenderaan.
Kata Ameerul Aidil, ABS/VSC kereta Ativa itu hanya mengandungi data Sistem Pra-Perlanggaran Brek (PB) dan tiada data BA direkodkan.
Jelasnya, PB adalah amaran kepada pemandu sekiranya ada kenderaan atau pejalan kaki di hadapan manakala BA adalah bantuan brek sekiranya pemandu hampir berlaku perlanggaran.
Selain itu katanya, BA tidak akan berfungsi sekiranya pemandu mengatasi (override) sistem ini dengan cara mengelak, membrek atau memecut kenderaan.
“Dalam memori data, hanya terdapat satu data perlanggaran sahaja dan data ketika impak perlanggaran itu berlaku pada bacaan odometer 9,325KM manakala bacaan odometer 9,366KM pula semasa kenderaan ini diperiksa di Bengkel Cawangan Pengangkutan Kontinjen, Ipoh.
“Oleh yang demikian, saya pasti bahawa kesemua data di atas adalah direkodkan semasa kejadian perlanggaran berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Ameerul Aidil berkata, daripada pemeriksaan awal ke atas kenderaan tersebut mendapati tidak terdapat perakam video pada Perodua Ativa variasi ‘advance’ itu.
“Untuk model Ativa variasi ‘advance’, sepatutnya telah dipasangkan perakam video tetapi saya dapati perakam video pada kenderaan tersebut telah tiada,” katanya.
Perbicaraan kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, memasuki hari ke-13 hari ini.
Mohd. Nazri, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN