Anwar mohon maaf kepada Jemaah Menteri

Anwar mohon maaf kepada Jemaah Menteri



zanariah_mutalib@bh.com.my

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memohon maaf kepada Jemaah Menteri hari ini, susulan tindakannya melepaskan kemarahan pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), Rabu lalu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri merasakan perkataan bahasa Inggeris yang digunakan untuk meluahkan kemarahan itu adalah sangat di luar perwatakannya.

“Perdana Menteri, hari ini, memohon maaf kepada semua yang hadir. Beliau menjelaskan kenapa beliau memohon maaf kerana beliau merasakan bahasa Inggeris disebut “very out of character” (sangat di luar perwatakan).

“Puncanya adalah beliau merasakan bahawa dua-dua inisiatif (merujuk kepada MyDigital ID dan projek rangkaian kedua 5G) seharusnya bergerak dengan lebih pantas.

“Beliau memohon maaf dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan (semalam) dan sekali lagi dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini,” katanya pada sidang media mingguan Kabinet di sini, hari ini.

Pada perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengakui berang dengan kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G menyebabkan beliau terpaksa melepaskan kemarahan yang agak keras dalam satu mesyuarat, kelmarin.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun, manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat maklum balas positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.

Antara menteri Kabinet yang hadir dalam mesyuarat MED4IRN ialah Fahmi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Selain itu, Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sementara itu, berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, yang diedarkan kepada Ahli Parlimen, semalam, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, berkata ia ada dimaklumkan dalam Mesyuarat Kabinet, hari ini.

“Ia tidak dibincangkan secara khusus tapi dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa sudah dibentangkan dan akan dibawa satu usul untuk perbahasan dalam Parlimen pada minggu ini, mungkin Rabu atau Khamis.

“Jadi, Ahli Parlimen akan membahaskan laporan RCI berkenaan,” katanya.

Selain itu, Fahmi turut memaklumkan, sebanyak 267 daripada 323 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir kini kembali pulih, manakala 56 masih belum beroperasi.

“Bagi 91 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) yang terkesan, 81 sudah kembali beroperasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR