Beirut: Israel secara intensif menggunakan fosforus putih di selatan Lubnan, sempadan zon merah dalam peta yang diedarkan bagi memberitahu penduduk supaya tidak pulang ke rumah mereka.
Israel mendakwa, pihaknya menggunakan peluru fosforus putih untuk mencipta tabir asap di medan perang.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia berkata, senjata itu dikerahkan di kawasan berpenduduk di Gaza dan Lubnan yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Penganalisis pertahanan yang berpangkalan di Luxembourg, Hamze Attar berkata, penggunaan fosforus putih di zon perang bergantung pada tiga faktor.
“Menggunakannya sebagai tabir asap untuk mengaburkan kemaraan tentera, membersihkan pejuang dan peralatan ketenteraan dari kawasan lapang yang luas dan tindak balas pantas atau tindakan pencegahan sebelum atau selepas pelancaran roket,” katanya kepada Al Jazeera.
Al Jazeera pada Mac melaporkan, dakwaan pakar Israel cuba menjadikan tanah itu tidak boleh didiami melalui taktik termasuk penggunaan fosforus putih.
Lebih 918 hektar dilanda dalam 191 serangan menggunakan peluru kontroversi sejak 8 Oktober 2023, menurut data yang dikumpul penyelidik Lubnan ,Ahmad Baydoun dan kumpulan aktivis alam sekitar, Green Southerners.
Penyelidikan Baydoun mengesahkan, Israel memfokuskan penggunaan fosforus putih di seluruh selatan Lubnan dengan intensiti yang lebih tinggi pada bulan-bulan awal konflik.
“Dua bulan pertama serangan pada 2023 hingga Oktober (45 cengkerang fosforus putih) dan November (44) adalah yang paling sengit, dengan 99 daripada jumlah keseluruhan 199 serangan fosforus putih.
“Pada September 2024, serangan Israel sekali lagi meningkat, membunuh 3,150 orang dalam tempoh lebih sedikit daripada dua bulan,” katanya.
Baydoun berkata, kerosakan meluas ke kawasan ini yang dimahukan Israel sebagai zon penampan.
“Akibatnya tidak dapat dilihat dan alam sekitar tidak dapat menjana semula dirinya. Perlu ada usaha untuk menyahcemar,” katanya.
Public Works Studio, sebuah studio perancangan bandar dan penggubalan dasar di Lubnan, juga menerbitkan dalam talian siri peta yang mendokumentasikan kemusnahan Israel di selatan Lubnan termasuk tempat fosforus putih digunakan.
“Kebanyakan kawasan yang terjejas fosforus termasuk dalam zon yang disebut Avichae adalah terlarang untuk orang selatan kembali,” kata seorang penyelidik di Public Works Studio, yang tidak mahu namanya disiarkan.
Human Rights Watch menemui sekurang-kurangnya lima kes setakat Jun 2024 di mana amunisi digunakan secara tidak sah di kawasan kediaman berpenduduk.
Rabu lalu, gencatan senjata yang dirundingkan Perancis dan Amerika Syarikat berkuat kuasa.
Namun, sehari selepas gencatan senjata diumumkan, Israel mengeluarkan petanya dengan zon luar had merah.
“Anda dilarang pada peringkat ini daripada pulang ke rumah anda dari garisan selatan ini sehingga diberitahu kelak,” jurucakap bahasa Arab tentera Israel, Avichay Adraee menulis di platform X.
Di bawah syarat gencatan senjata, Israel mesti mengundurkan tenteranya dari selatan Lubnan dalam masa 60 hari untuk memberi laluan kepada tentera Lubnan yang akan ditempatkan di selatan.
Namun, tentera Israel masih berada di kawasan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd