am@hmetro.com.my
Tumpat: Keputusan analisis sampel kain pakaian seragam jururawat dibekalkan syarikat pembekal yang didakwa tidak mematuhi spesifikasi hampir selesai, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mengambil apa-apa tindakan lanjut selagi keputusan itu belum diperoleh.
“Kita masih lagi menunggu dapatan, sikit lagi, Insya-Allah akan dapat berikan hasil.
“Kita tak boleh ambil tindakan termasuk kepada syarikat pembekal selagi belum ada (keputusan) dan akan putus secara tuntas mengenai apa pun yang kita ambil dari segi pendirian dan sikap,” katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap aduan jururawat mengenai kualiti kain kurang baik yang dibekalkan sebuah syarikat untuk pakai seragam jururawat bernilai lebih RM98.3 juta.
Dalam laporan itu, KKM menjelaskan sudah menghantar sampel kain yang dikatakan tidak mematuhi spesifikasi kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.
KKM turut menjelaskan, sekiranya bekalan pakaian seragam iaitu kain yang diterima didapati tidak mematuhi spesifikasi, syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan selaras kontrak yang sedang berkuat-kuasa.
Pada 23 Oktober lalu, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) dilaporkan menerima maklum balas mengenai kain yang dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat sedikit keras serta tidak selesa dipakai ketika bekerja.
© New Straits Times Press (M) Bhd