Isu SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin ditukarkan nama SJKC Gamuda Cove akan dibawa ke Kabinet – Ahmad Zahid

Isu SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin ditukarkan nama SJKC Gamuda Cove akan dibawa ke Kabinet – Ahmad Zahid



khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Omar Ong Yoke Lin yang ditukarkan nama SJKC Gamuda Cove ke Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong agar nama asal itu dikembalikan.

Beliau bagaimanapun menegaskan, perkara itu tidak membabitkan soal perkauman.

“Saya amat bersetuju apa yang dilontarkan oleh Ka Siong kerana pandangan beliau adalah pandangan daripada MCA yang meminta SJKC yang telah dinamakan Tun Omar Ong Yoke Lin untuk dikembalikan.

“Ini bukan soal perkauman. Ini soal di mana ketika itu nama itu telah dipersetujui. Insya-Allah saya sendiri akan bawa ke Kabinet,” katanya semasa berucap sambutan di Jubli Emas BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Ka Siong semasa ucapannya berkata, nama pengasas MCA, Tun Omar diluluskan oleh bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 26 Oktober 2017 bagi nama asal sekolah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, nama itu digugurkan ketika majlis pecah tanah untuk pembinaan SJKC Gamuda Cove pada 4 Disember lalu.

Ka Siong berkata, Tun Omar adalah pengasas MCA dan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top