Ariff Aiman meraikan jaringan pada perlawanan berkenaan. Foto Facebook Johor Southern Tigers
SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT), melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.
Tiga gol daripada Arif Aiman Hanapi pada babak pertama ternyata sudah memadai buat skuad Harimau Selatan itu meraih tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri.
Kemenangan itu menyaksikan JDT kian kukuh di puncak Liga Super dengan 43 mata hasil 14 kemenangan dan seri sekali setelah mengharungi 15 perlawanan.
Kedua-dua pasukan bermula baik sejak wisel permulaan dengan melancarkan serangan ke pintu gol lawan masing-masing.
Seawal minit ke-5, JDT hampir membuka jaringan, namun percubaan Romel Morales berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Muhamad Azri Ghani.
Namun Stadium Sultan Ibrahim bergema apabila Arif Aiman membuka jaringan hasil rembatan leret pada minit ke-12.
Gol itu dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan skuad Harimau Selatan itu yang semakin hebat mengasak ke pintu gol lawan bagi menambah jaringan.
Hasilnya, Arif Aiman sekali menggamatkan stadium apabila meledak gol kedua menerusi rembafan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-36.
Arif Aiman kemudiannya mencatatkan hatrik apabila menyempurnakan penalti pada minit ke-42, setelah bola terkena tangan pemain KL City FC, Brendan Gan.
Tiada jaringan tambahan dihasilkan kedua-dua pasukan untuk kedudukan 3-0 memihak JDT kekal hingga tamat babak pertama.
Babak kedua menyaksikan JDT melakukan beberapa pertukaran dalam usaha menambah jaringan.
Bagaimanapun, jentera serangan skuad Harimau Selatan itu dilihat buntu bagi menembusi benteng pertahanan lawan bagi menyaksikan kedudukan 3-0, memihak JDT kekal hingga ke wisel penamat.