Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional, hakim perintah failkan hujahan bertulis

Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional, hakim perintah failkan hujahan bertulis



am@hmetro.com.my

Tawau: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu, menutup kesnya selepas 25 saksi selesai memberi keterangan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif Nor yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Tawau Datuk Duncan Sikodol menutup kes selepas pegawai penyiasat Asisten Superintendan Suddin Tjinke memberi keterangan.

Beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Duncan memerintahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 30 Disember depan, manakala hujahan balas ditetapkan pada 6 Januari depan, selain menetapkan tarikh 13 Januari depan sebagai tarikh untuk memastikan semua pihak memfailkan kesemua dokumen berkenaan.

Duncan bagaimanapun belum membuat keputusan sama ada membebaskan kesemua 13 tertuduh atau memerintahkan mereka membela diri.

Nur Nisla turut memaklumkan pendakwaan menawarkan 25 saksi kepada pihak pembelaan, termasuk seorang pegawai kimia, dua orang doktor, jurufoto polis dan warden kolej terbabit, sekiranya tertuduh diperintah membela diri.

Pada 13 Ogos lalu, kesemua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, termasuk peguam lantikan Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo, dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top